ad
AGENDA

Peguam rugi RM1.75 juta ditipu lelaki mendakwa ahli geologi marin

10 Sep 2024, 10:48 AM
Peguam rugi RM1.75 juta ditipu lelaki mendakwa ahli geologi marin

TELUK INTAN, 10 SEPT: Peguam kerugian RM1.75 juta akibat terperdaya dengan penipuan cinta selepas berkenalan dengan lelaki warga asing menerusi aplikasi WhatsApp sejak Julai lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata wanita berusia 58 tahun itu membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya ditipu.

"Menurut wanita itu, suspek mendakwa dirinya bekerja sebagai ahli geologi marin dan kononnya wang tunainya hilang akibat dirompak ketika datang ke Malaysia bagi melaksanakan projek pembinaan tangki dasar laut di pesisir pantai di Terengganu.

"Disebabkan 'masalah' yang dihadapinya, suspek meminta bantuan mangsa untuk membantunya memasukkan sejumlah wang," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus mengenai jenayah penipuan dan trend jenayah semasa di sini hari ini.

Azizi berkata mangsa membuat pemindahan transaksi wang ke beberapa akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1,757,490.

"Suspek berjanji akan membayar balik wang itu, namun hingga ke hari ini mangsa tidak menerima sebarang bayaran daripada suspek," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Azizi berkata daerah Hilir Perak merekodkan kerugian berjumlah RM2 juta membabitkan penipuan dalam talian sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.