ad
AGENDA

Lelaki warga asing didakwa miliki sembilan bungkusan wang kertas RM100 palsu

10 Sep 2024, 7:18 AM
Lelaki warga asing didakwa miliki sembilan bungkusan wang kertas RM100 palsu

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Lelaki warga Cameroon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki wang palsu serta peralatan untuk memotong dan membalut wang palsu itu, bulan lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Ammanuel Linwe Gwei, 51, didakwa memiliki sembilan bungkusan wang kertas RM100 palsu dengan niat untuk menggunakan wang itu sebagai tulen di sebuah kedai serbaneka di Brickfields di sini pada 5 petang, 15 Ogos lalu.

Penjual alat komunikasi itu juga didakwa memiliki wang palsu RM100 berjumlah 4,770 keping, wang kertas US$ berjumlah 152 keping serta peralatan untuk memotong dan membalut wang tersebut di sebuah residensi di Cheras di sini pada 7.30 malam, tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Hakim Hamidah Mohamed Deril tidak memberikan jaminan dan menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.