ad
AGENDA

Rexy: Barisan jurulatih badminton dirombak, cadang kecilkan jumlah pemain senior, remaja

10 Sep 2024, 5:50 AM
Rexy: Barisan jurulatih badminton dirombak, cadang kecilkan jumlah pemain senior, remaja

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Akademi Badminton Malaysia (ABM) dijangka membuat rombakan barisan kejurulatihan pada 24 Sept ini, kata Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky.

Beliau berkata pihak pengurusan tertinggi badan induk itu akan mengadakan mesyuarat pada tarikh itu bagi membincangkan perkara berkenaan secara terperinci.

“Setakat ini perbincangan untuk menambah atau merombak jurulatih akan diadakan pada 24 Sept ini dan melibatkan bahagian perlu sahaja. Sudah ada 'calon', tapi akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti,” katanya kepada pemberita di ABM di sini hari ini.

Mei lepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pernah mengiklankan jawatan bagi mencari jurulatih perseorangan lelaki baharu buat skuad senior kebangsaan.

Sementara itu Rexy berkata mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan keperluan mengecilkan jumlah pemain dalam skuad senior dan remaja kebangsaan.

Ini kerana beliau merasakan jumlah pemain dimiliki kedua-dua pasukan berkenaan agak tinggi berbanding keperluan sebenar iaitu sekitar 50 pemain bagi skuad senior dan remaja.

“Sekarang 70 (pemain remaja) manakala senior ada lebih 50 pemain. Jadi kita akan bincang dengan jurulatih semua berapa jumlah ideal dalam setiap pasukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.