SHAH ALAM, 10 SEPT : Orang ramai diseru untuk menyalur sumbangan bagi merealisasikan pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah.
Pengurus besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata anggaran kos keseluruhan pembangunan adalah sebanyak RM17 juta dengan sumbangan terkumpul adalah RM9.7 juta.
Maklum Nur Mohd Razali Abdullah, orang ramai boleh berinfaq untuk pembinaan kompleks tersebut melalui pautan yide.com.my/infaq-kompleks-anak-yatim/.
"Baki dana yang diperlukan adalah RM7.3 juta. Yide menyeru orang ramai untuk infak wang dan harta bagi memastikan pembangunan kompleks ini disiapkan mengikut jadual iaitu pada Januari 2026.
"Insya-Allah, kompleks ini kita akan menempatkan sekitar 108 anak yatim dengan fasiliti lengkap dan kondusif seperti asrama, surau, dewan serbaguna , pusat komersial dan gelanggang permainan," kata
Nur Mohd Razali Abdullah kepada Selangorkini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Yide merangka lebih 10 aktiviti kepada anak yatim seliaannya sepanjang cuti sekolah September ini.
"Pada 5 September lalu program dimulai dengan Ziarah Mahabbah kemudian disusuli dengan pelbagai aktiviti sehingga 13 Oktober nanti.
"Insya-Allah, 11 September ini kita akan menganjurkan program motivasi sekolah kemudian disusuli dengan beberapa tazkirah bersama anak yatim dan ziarah anak yatim Mualaf pada 25 September.
"Kita turut menganjurkan program Selangkah Ke Universiti pada 18 September, perarakan Maulidur Rasul pada 14 September dan diakhiri dengan majlis agihan fidyah anak yatim (13 Oktober)," katanya ketika dihubungi.
Mengulas jumlah anak yatim berdaftar bawah Yide, Nur Mohd Razali berkata seramai 11,385 dengan pecahan 5,932 (lelaki) dan 5,453 (perempuan).
"Kita ada 6,388 keluarga anak yatim seliaan Yide manakala sebanyak 32 jumlah rumah kebajikan anak yatim berdaftar dengan yayasan itu setakat 30 Jun lalu," katanya.