SHAH ALAM, 9 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) edisi keempat dijadual membuka tirainya di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Bukit Jelutong di sini pada 12 September.
Acara tiga hari sehingga 14 September dijangka menarik 25,000 pengunjung dengan sasaran potensi nilai transaksi RM1.3 bilion, lebih 50 peratus dari perolehan tahun lalu.
[caption id="attachment_539347" align="aligncenter" width="812"] Pegawai Komunikasi Korporat Global Turbine Asia, Aida Fakhrul Lamakasauk memberi penerangan kepada pengunjung berhubung struktur enjin helikopter model Arrius 1A sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pameran berkenaan menampilkan 15 syarikat dari tujuh negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Singapura, Jerman, Perancis dan Republik Czech.
Sempena pameran itu juga, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis pesawat seperti pesawat Diamond, Falcon 8x, Caravan dan Piaggio Avanti.
[caption id="attachment_497030" align="aligncenter" width="812"] Syarikat Embraer berkongsi kepada pemain industri jet penerbangan komersial keluaran syarikatnya, E195-E2 yang menggunakan teknologi baharu seperti penjimatan minyak pada Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 25 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
Selain itu, lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa turut dibuka sempena karnival kerjaya, sebahagian agenda SAS kali ini.
Edisi tahun lalu yang berlangsung tiga hari mulai 7 September di lokasi sama mencatat potensi nilai transaksi RM823 juta serta merekodkan kehadiran 19,217 pelawat perdagangan, melebihi sasaran 12,000 orang.
Mula dianjur pada 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Selangor menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.
[caption id="attachment_539408" align="aligncenter" width="814"] Replika pesawat kawalan jauh dan dron pelbagai model dipamerkan kepada pengunjung sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]