ad
AGENDA

Dasar cerun negara baharu sedang dirangka - Nanta

9 Sep 2024, 11:30 AM
Dasar cerun negara baharu sedang dirangka - Nanta

KUCHING, 9 SEPT: Kementerian Kerja Raya sedang merangka dasar cerun negara baharu bagi menggantikan dasar sebelum ini yang telah tamat tahun lepas, kata menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata dasar berkenaan dicadang untuk dikuatkuasakan bermula tahun ini hingga 2035 dengan mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku serta langkah yang lebih proaktif untuk mengurangkan sebarang kejadian seperti tanah runtuh.

“Kita mesti ada satu dasar kebangsaan tentang cerun. Kita tidak mengambil ringan sebab kesannya merugikan. Akibatnya harta benda boleh terjejas dan nyawa pun boleh hilang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Mengenang Negarawan: Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng, Negarawan Terbilang di sini hari ini.

Nanta berkata kementeriannya juga telah mengenal pasti cerun mudah runtuh di lebih 1,000 lokasi di seluruh negara dan langkah telah diambil untuk memasang peralatan bagi memantau pergerakan tanah di kawasan-kawasan terbabit.

“Memang ada JKR (Jabatan Kerja Raya) dari dulu pun sentiasa memantau dan mendapati ada beberapa lokasi mungkin mudah terjadi masalah (tanah runtuh) itu. Jadi untuk mengambil langkah yang lebih proaktif, kita memantau dengan lebih rapi,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.