ad
AGENSI

Raja Muda berkenan ke majlis santapan bersama pemenang pingat emas SUKMA Sarawak

9 Sep 2024, 10:00 AM
Raja Muda berkenan ke majlis santapan bersama pemenang pingat emas SUKMA Sarawak

KLANG, 9 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan ke majlis santapan tengah hari bersama pegawai dan pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak ke-21 di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kassim, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Dalam sembah ucapan kepada Raja Muda Selangor, Mohd Najwan yang juga ketua kontinjen memaklumkan Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengiktiraf segala usaha dan sumbangan yang diberikan atlet Selangor dalam temasya sukan di Sarawak Ogos lalu.

"Setiap titik peluh dan pengorbanan mereka amat dihargai dan kejayaan ini adalah hasil daripada usaha kolektif semua pihak yang telah memberi komitmen sepenuhnya.

"Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa memberi sokongan dan komitmen dalam setiap perancangan yang diatur MSN negeri dalam memastikan kecemerlangan sukan yang berterusan di Selangor," ucapnya dalam majlis dihadiri 101 atlet meraih pingat emas.

Terdahulu, menerusi kejohanan SUKMA ke-21 berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa sepanjang temasya dwitahunan itu.

Dianjur di sembilan daerah di Sarawak, temasya sukan itu membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan dengan Selangor menyertai 37 jenis sukan terbabit.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Mohd Najwan memaklumkan insentif kepada atlet yang meraih pingat sepanjang di SUKMA 2024 akan diserahkan pada Anugerah Sukan Selangor yang dijangka diadakan selewatnya November depan.

"Insentif bukan hanya diberikan kepada atlet meraih pingat emas, tetapi juga perak dan gangsa. Bagaimanapun jumlah untuk pingat perak dan gangsa belum dipastikan lagi cuma emas insentif diberikan sehingga RM10,000.

"Kita jangka serahkan dalam anugerah sukan negeri berlangsung pada Oktober atau selewatnya November. Untuk penyerahan insentif perlu persiapan rapi supaya dapat dihadiri semua pihak," katanya.

Pada 3 Ogos, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran insentif RM10,000 kepada atlet yang meraih pingat emas pada Sukma ke-21 di Sarawak.

Ganjaran RM10,000 diberi kepada atlet sukan individu, RM5,000 seorang (acara berpasukan bawah lima orang) dan RM3,000 seorang (acara berpasukan lebih lima orang).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.