SHAH ALAM, 9 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk sejumlah RM48,445 bagi pembinaan kanopi di laluan pejalan kaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 8.
Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata dana terbesar di bawah peruntukan Ahli Dewan Negeri itu turut diguna untuk membesarkan pintu masuk laluan kedua sekolah tersebut.
"Saya terima permohonan daripada pihak sekolah untuk pembinaan ini kerana kanopi penting bagi memudahkan pelajar menunggu ibu bapa terutama ketika hujan.
"Saya meluluskan peruntukan ini meski jumlahnya agak besar berikutan kira-kira 60 peratus pelajar SMK USJ 8 berasal daripada keluarga B40," katanya menerusi kenyataan.
Michelle menjelaskan pemasangan kanopi bersaiz 91 meter panjang dan 2.8 meter lebar itu siap sepenuhnya pada 12 Julai lalu dan dijangka mampu memanfaatkan 900 pelajar.
"Saya berharap dengan kerja menaik taraf ini, pelajar SMK USJ 8 akan berasa lebih selamat dan selesa untuk menuntut ilmu," katanya.