SHAH ALAM, 9 SEPT: Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau yang dijadual siap tahun depan dijangka mengalami kelewatan susulan insiden tebing sungai runtuh di Taman Mas Puchong, kelmarin.
Pengarah unit komunikasi korporat dan hal ehwal pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata tindakan kontigensi sedang dilaksanakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi mengenal pasti penambahbaikan, lapor Sinar Harian.
“Pihak kontraktor iaitu Gamuda Berhad juga akan melantik pakar bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan sebelum meneruskan kerja pembinaan.
“SPAN akan menunggu laporan terperinci daripada mereka sebelum sebarang kesimpulan menyeluruh boleh dibuat,” kata Mohd Fazil Ismail.
Beliau menambah, insiden berkenaan juga tidak menjejaskan bekalan air di kawasan sekitar selain Air Selangor mempunyai pelan kontigensi bagi menjamin bekalan air kepada pengguna.
“Pihak operator (Air Selangor) mempunyai pelan kontingensi mereka bagi memastikan bekalan air tidak terjejas,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, tebing sungai berkenaan runtuh menyebabkan limpahan air tasik memenuhi tapak pembinaan itu namun tiada kecederaan dilaporkan sama ada pekerja pembinaan atau orang awam.
Pembinaan LRA Sungai Rasau yang dilancar tahun lalu, bakal menjadi loji paling besar dan termaju di Asia Tenggara dengan kemampuan menghasilkan bekalan air bersih sebanyak 1,400 juta liter sehari (JLH).
LRA Sungai Rasau merupakan sebahagian daripada projek Skim Bekalan Air Rasau yang merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar.
Skim yang dijangka siap sepenuhnya pada 2030 itu turut berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir.