SHAH ALAM, 9 SEPT: Proses permohonan dan pengagihan bantuan bencana oleh Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mudah dan cepat, kata Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor.
Jelasnya, mereka yang terkesan hanya perlu menyediakan dokumen seperti salinan kad pengenalan dan laporan polis bersama beberapa keping gambar atau video kejadian bencana sebagai bukti.
Beliau menambah mangsa bencana boleh mengemukakan permohonan melalui wakil rakyat dan ketua kampung di kawasan masing-masing sebelum dikemukakan kepada Yayasan MBI.
“Biasanya kalau Yayasan MBI melawat mangsa, misalnya di pusat pemindahan sementara (PPS), kita hulurkan dahulu bantuan tunai paling kurang RM100 dan dapatkan maklumat lanjut untuk baki agihan.
"Tempoh agihan bergantung berapa cepat dokumen diterima. Kalau wakil rakyat dan ketua kampung buat kerja laju, dalam dua minggu boleh selesai,” jelasnya kepada Media Selangor, baru-baru ini.
Beliau turut mengakui masih ada ruang yang perlu ditambah baik dalam penyaluran bantuan bencana, termasuk meningkatkan kerjasama wakil rakyat, penyelaras dan ketua kampung.
“Kalau serahan dokumentasi tiada isu, MBI boleh agih dengan segera. Rakyat akan gembira dan merasai Kerajaan Negeri santuni dengan cepat,” katanya.