GOMBAK, 8 SEPT: Selangor berjaya mencapai sasaran menoktahkan miskin tegar pada Julai lalu, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kejayaan itu merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak antaranya Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan.
“Kita sudah capai (sifar miskin tegar) berdasarkan data terakhir tetapi setiap suku tahun kita akan dapat data baru, jadi mungkin ada beberapa perubahan.
“Ini kerana ada rakyat yang mungkin berubah tahap kehidupan sebagai contoh hilang kerja, sakit dan sebagainya. Sebab itu perlu selalu buat semakan,” katanya pada sidang media.
[caption id="attachment_662388" align="aligncenter" width="968"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian pembukaan pasar raya pertama Ehsan Mart di Dataran Selayang, Batu Caves pada 8 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Terdahulu, Amirudin diiringi Datin Seri Masdiana Muhammad merasmikan Pasar Raya Ehsan Mart pertama bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dataran Selayang di sini, hari ini.
Jun lalu, Amirudin menyasar menoktahkan kemiskinan tegar di Selangor berdasarkan bilangan 245 keluarga yang masih berada dalam kategori miskin tegar ketika ini berbanding 861 direkodkan pada April.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapus miskin tegar menjelang 2025, namun disingkatkan pada tahun ini.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat.
Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntuk RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.
[caption id="attachment_662389" align="aligncenter" width="1038"] Orang ramai termasuk penduduk sekitar hadir pada majlis perasmian pasar raya pertama Ehsan Mart di Dataran Selayang, Batu Caves pada 8 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]