ad
AGENDA

PKPS perkenal Ehsan Mart, tawar harga lebih murah dari pasaran

8 Sep 2024, 10:40 AM
PKPS perkenal Ehsan Mart, tawar harga lebih murah dari pasaran
PKPS perkenal Ehsan Mart, tawar harga lebih murah dari pasaran
PKPS perkenal Ehsan Mart, tawar harga lebih murah dari pasaran

GOMBAK, 8 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart yang menawarkan barangan asas sehingga 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran luar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pasar raya yang bakal diperluas di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan kesinambungan daripada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang diperkenal sejak 2022.

“Sejak pelancaran JER, lebih 4,000 lokasi di seluruh Selangor telah dilawati dengan jumlah perbelanjaan subsidi sebanyak RM58.7 juta.

[caption id="attachment_662369" align="alignleft" width="500"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari Exco Pertanian, Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi meninjau barangan pasar raya pertama Ehsan Mart di Dataran Selayang, Batu Caves pada 8 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Alhamdulillah, kita terima maklum balas yang sangat positif daripada rakyat. Kita melangkah setapak lebih jauh dengan memperkenalkan Ehsan Mart sebagai platform jualan yang lebih sistematik dan mampan,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, Amirudin diiringi isteri, Datin Seri Masdiana Muhammad merasmikan Pasar Raya Ehsan Mart pertama bagi DUN Sungai Tua di Dataran Selayang di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Pertanian Ir Izham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Saipolyazan M. Yusop dan CEO PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Amirudin menambah, Kerajaan Negeri bakal membina dua lagi Pasar Raya Ehsan Mart tahun ini di Pandan Indah dan Hulu Klang, selain dijangka siap di semua 56 DUN menjelang 2027.

Jelasnya, program Jualan Ehsan Rahmah (JER) bakal dikurangkan dari semasa ke semasa susulan pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart yang menawarkan lebih banyak barangan asas.

“Kita akan secara perlahan-lahan mengurangkan JER untuk beri tumpuan buka pusat jualan seperti ini. JER akan ada, tetapi mungkin ikut permintaan seperti pada musim perayaan dan sebagainya,” katanya.

[caption id="attachment_662370" align="alignright" width="500"] Sekitar majlis perasmian pasar raya pertama Ehsan Mart di Dataran Selayang, Batu Caves pada 8 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menyasar tempoh dua tahun bagi merealisasi gudang simpanan bekalan makanan yang memiliki daya tahan sehingga tiga bulan.

Menurutnya, gudang simpanan bekalan makanan tersebut akan menjadi kitaran bagi memastikan kesinambungan jualan barangan keperluan pada harga rendah di Pasar Raya Ehsan Mart.

“Sebelum habis tarikh luput, kita kena jual dan di sinilah kita akan jual. Kita sedang cari lokasi sesuai (pembinaan gudang). Saya sasar dua tahun untuk kita siapkan simpanan dan kitaran dengan Ehsan Mart,” katanya.

Februari lalu, Amirudin mengumumkan Selangor bakal mewujudkan simpanan bekalan makanan bagi memastikan keterjaminan makanan membabitkan beras, ayam, daging dan ikan dengan peruntukan RM50 juta.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.