ad
AGENDA

Israel bunuh hampir 41,000 rakyat Palestin sejak Oktober tahun lepas

7 Sep 2024, 3:30 PM
Israel bunuh hampir 41,000 rakyat Palestin sejak Oktober tahun lepas

ANKARA, 7 SEPT: Tentera Israel membunuh 61 lagi rakyat Palestin dalam serangan ke atas Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan kematian mencecah 40,939 sejak 7 Okt tahun lepas, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik Kementerian Kesihatan Palestin di wilayah itu pada Sabtu.

Kementerian itu juga melaporkan 94,616 orang cedera dalam serangan yang berterusan.

"Tentera Israel membunuh 61 orang dan mencederakan 162 yang lain dalam empat 'pembunuhan beramai-ramai' terhadap keluarga dalam tempoh 48 jam lalu," menurut kenyataan itu.

"Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat tidak dapat menghampiri mereka," tambahnya.

Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata segera.

Sekatan berterusan di Gaza menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, menyaksikan sebahagian besar infrastruktur di wilayah itu musnah.

Israel menghadapi tuduhan pembunuhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang telah mengarahkan penghentian operasi ketenteraan di bandar selatan Rafah, yang lebih satu juta rakyat Palestin mencari perlindungan sebelum kawasan itu diserang pada 6 Mei.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.