ad
AGENDA

Anwar, Prabowo bertemu, tekad tingkat hubungan serumpun

7 Sep 2024, 2:44 PM
Anwar, Prabowo bertemu, tekad tingkat hubungan serumpun

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto hari ini bertekad untuk meningkatkan hubungan serumpun dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook berkata ia antara beberapa perkara yang disentuh dalam pertemuan dengan Prabowo petang tadi.

“Ketemu sahabat karib saya, Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto, petang tadi.

“Kami menyentuh beberapa perkara yang melibatkan kepentingan bersama, yang paling penting ialah tekad kami untuk meningkatkan hubungan serumpun dua hala antara dua negara bersahabat.

“Kami turut menegakkan tekad untuk mengukuh dan menjamin jalinan kerjasama serantau ASEAN,” katanya.

Anwar berkata beliau turut berbesar hati menerima undangan Prabowo ke majlis pelantikan Presiden Indonesia yang akan diadakan pada 20 Okt ini di Jakarta.

Prabowo yang juga Menteri Pertahanan negara itu bakal mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Indonesia daripada Presiden Joko Widodo, Oktober ini.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.