TANJUNG SEPAT, 7 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera termasuk berbincang bersama Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung isu projek rumah terbengkalai di Morib.
Dato' Menteri Besar berkata pihaknya akan membela nasib pembeli projek Rumah Selangorku itu malah siri perbincangan dengan KPKT untuk mencari jalan penyelesaian menunjukkan perkembangan positif.
“Kita sedang bincang dengan KPKT tapi perbincangan yang sangat positif. Kita selesaikan dahulu mengenai rumah. Kalau kita tidak selesaikan rumah, perkara lain jadi kurang bernilai.
“Kita selesaikan isu pokok dulu dan yang lain kita akan kira balik kerana ia libatkan banyak benda. Kita perlu dapatkan semua kira-kira supaya situasinya menang-menang,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu beliau merasmikan Festival Selangor@Batu Laut di Dataran Pantai Batu Laut di sini, hari ini. Hadir sama EXCO Kebudayaan merangkap wakil rakyat Tanjung Sepat, Datuk Borhan Aman Shah.
Sebelum ini, kira-kira 500 pembeli kediaman projek perumahan Rumah Selangorku di Morib dilapor kecewa apabila kediaman yang sepatutnya siap pada 2020 masih belum diduduki.
Projek pangsapuri setinggi 17 tingkat itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan masalah yang dihadapi pemaju perumahan terbabit.
Sementara itu, Amirudin mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan agensi terbabit menyiasat situasi tanah mendap yang berlaku di Flat PKNS Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur.
Menurutnya situasi tanah mendap di kediaman pangsapuri yang dibina sejak 1980-an itu memerlukan penelitian rapi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita akan tengok situasinya. Sebelum ini pernah berlaku tapi kita akan minta PKNS tengok sendiri, kadang-kadang pergerakan tanah cuma dari luar.
“Biar jabatan terbabit siasat dahulu dan ini bangunan yang dibina sejak 80-an, sudah pasti banyak benda yang perlu diteliti dan diberi perhatian,” katanya.
Selasa lalu, penduduk Flat PKNS Taman Keramat Permai meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan masing-masing susulan kejadian tanah mendap yang didakwa kerap berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Pada April 2019, insiden tanah mendap menyebabkan bangunan Blok F di pangsapuri terbabit retak dan seramai 222 penghuninya terpaksa dipindahkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.