SHAH ALAM, 7 SEPT: Platform Selangor (PLATS) berhasrat menjadikan medan selera pertama di Alam Impian, Shah Alam menggunakan sepenuhnya urus niaga tanpa tunai, maklum Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata penggunaan perkhidmatan tanpa tunai di seluruh gerai medan selera terbabit merupakan inisiatif bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital dalam perniagaan.
“PLATS jalin kerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menggalakkan peniaga jalani perniagaan secara atas talian atau transaksi tanpa tunai.
“Contoh, peniaga kami selepas menjalani Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) siri pertama lalu, perniagaan nasi dagangnya berkembang maju, sebelum 11 pagi jualan sudah habis.
[caption id="attachment_662024" align="aligncenter" width="1071"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemu bual Media Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 6 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Peniaga tersebut mengadaptasi penggunaan ekonomi digital. Jadi kami berazam untuk menjadikan ia sebagai medan selera digital pertama di Selangor. Semua peniaga lain dalam proses menerima ekosistem imbasan kod QR PLATS,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan MBI bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan PBT lain bagi mempromosikan manfaat PLATS melalui konsep turun padang.
“Melalui kerjasama ini, kami mengadakan sesi taklimat pada program turun padang ini seperti PLATS Masuk Bazar ketika bulan Ramadan dan PLATS Masuk Pasar untuk memperkenalkan PLATS kepada peniaga.
“Pengunjung diberi kupon RM5 hingga RM10 yang turut membuka peluang peniaga meningkatkan jualan perniagaan mereka. MBI turut berhasrat meluaskan promosi di kawasan bazar Deepavali nanti,” ujarnya.