ad
AGENSI

SA Sentral pacu ekonomi Shah Alam, mampu saingi Kuala Lumpur

7 Sep 2024, 5:22 AM
SA Sentral pacu ekonomi Shah Alam, mampu saingi Kuala Lumpur
SA Sentral pacu ekonomi Shah Alam, mampu saingi Kuala Lumpur
SA Sentral pacu ekonomi Shah Alam, mampu saingi Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 7 SEPT: Projek meremajakan semula bandar raya, SA Sentral kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal menjadikan Shah Alam sebagai pusat perniagaan yang mampu bersaing dengan Kuala Lumpur.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata berkonsepkan pembangunan berorientasi transit dengan kos RM3 bilion, projek turut menyediakan ekosistem ideal untuk meluaskan perniagaan serta keusahawanan.

Menggabungkan beberapa bangunan utama, ia menyediakan pelbagai prasarana antaranya ruang pejabat, peruncitan, cawangan restoran, hotel serta bilik, mesyuarat, persidangan dan pameran sekali gus menjadi lokasi segi tiga emas baharu di Selangor.

“SA Sentral mengubah landskap bandar Shah Alam dengan reka bentuk inovatif, amalan lestari serta ciri bandar pintar dan rendah karbon bermatlamat menarik minat generasi baharu penduduk, perniagaan serta pengunjung.

“Ia selaras dengan visi Selangor untuk menjadi sebuah negeri pintar dan prihatin bawah inisiatif Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” kata Datuk Mahmud Abbas pada majlis pelancaran projek disempurnakan Dato’ Menteri Besar malam tadi.

[caption id="attachment_662096" align="aligncenter" width="1071"] Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato' Mahmud Abbas (tengah) menandatangani memorandum bersama rakan strategik sambil diperhatikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam majlis perasmian SA Sentral di Galeria Sentral, Seksyen 14, Shah Alam pada 6 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau menjelaskan projek berimpak tinggi berkeluasan 64.7 hektar itu meliputi komponen pembangunan Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Walk, Kompleks PKNS dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

“SA Sentral akan menjadi sebuah hab dinamik, menyatukan masyarakat dan merangsang pertumbuhan ekonomi selain nadi kepada bandar raya Shah Alam dengan membawa era baharu," katanya.

Sementara itu Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran akan memastikan SA Sentral tidak menjadikan bandar raya ini sesak selain aspek keselamatannya terjamin.

Jelasnya jaringan pengangkutan akan diutamakan termasuk menyediakan penggunaan perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) serta penggunaan bas yang banyak.

“Kalau kita lihat model pembangunan, ada banyak jajaran pejalan kaki. Ini bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon serta matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Kita akan pastikan pembinaan dilengkapi pemetaan untuk mudahkan kerja penyelenggaraan. Apa yang berlaku di Masjid India (tanah jerlus) kita jadikan pengajaran,” katanya.

[caption id="attachment_662097" align="aligncenter" width="850"] Orang ramai melihat replika SA Sentral ketika majlis pelancaran di Galeria Sentral, Seksyen 14, Shah Alam pada 6 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.