Oleh M. Emir
Salam Fahim,
John Green ada mencatat dalam Tertulis di Bintang-Bintang, bahawa semua manusia meninggalkan kesan, namun selalunya parut. Kau pembaca yang baik. Malangnya kau tak pernah mampu membaca aku. Riwayat hidup penuh liku. Demi perempuan itu, watakmu berubah. Obses dengan wajah. Mana pergi praKoreamu? Sebelum ini kita dua-dua chubby. Pergi ke sekolah diejek dan itu adalah situasi manis yang paling aku ratapi. Aku masih ingat saat kau buat push-up, tak sempurna. Mungkin waktu itu kelakar. Tetapi spiritual kau tidak selucu sekarang.
Kau memang pelawak sejak azali hingga kiamat. Tiada yang berubah, Fahim. Hanya saja penampilanmu yang semakin kacak. Tetapi apa bezanya dengan sebelum ini? Kau juga dipermain perempuan. Jika dahulu mereka mengecekmu, kali ini, mereka hanya mahukan rupa parasmu. Aku masih ingat, waktu kita chubby dulu, kita ditertawa, dan ia disusuli oleh kita yang turut tertawa menjadi bahan yang meneutralkan keadaan.
Berbalik kepada teori John Green. Aku percaya. Kau adalah parutku. Punyalah aku anggap kau sahabat, begini balasan kau padaku. Rutinku, duduk di hadapan cermin, merenung badan yang obesiti, sambil menelan sepapan ubat pahit maung yang mencelakakan seluruh hayat. Tapi kau tak memilih untuk kekal di satu titik. Kau kurus. Kononnya untuk memperbaik diri. Silap aku cerita pada kau tentang crush. Kau rampas segalanya, Fahim.
SURAT. Aku tulis di atas kertas vintaj DIY. Jangan tanya. Aku sedang kecewa. Diam adalah kata-kata paling romantis kini. Okay. Sekarang, aku menggulung dan mengambil satu tali aesthetic. Esok, akan aku taruh dalam begnya. Umur 17 memang memenatkan. Uh, cinta. Putus. Penat. Bodoh. Tak reti add math. Dapat E Chemistry. Peperiksaan. Cikgu bekeng. Dan macam-macam bala bencana lagi. Oh, okay. Aku akan jawab meskipun aku hanya mahu kau diam.
Fahim kawan lama. Sama-sama menonton angin bertiup romantis menyentuh sela daun dan ketiak. Sama-sama menonton matahari comel pagi di sekolah. Sama-sama chubby. Yang penting, sama-sama ditertawa dan dianggap celaka. Fahim tak tahan. Dia berubah total. Sebenarnya aku juga. tetapi tidak tahan lama apabila aku didiagnos depresi. Ubat-ubatan menggandakan berkali-kali berat badan. Entah berapa kilo sudah? Mungkin 100++/
Dulu, Fahim selalu jalan dengan penuh hati-hati. Aku fikir, dia bakal meninggalkan kesan yang bukan parut pada dunia. Setidaknya pada aku. Malangnya sangkaan meleset seperti gol pemain bola yang berjersi lumut itu. Tidak ada yang tercedera kerananya. Dunia telah berdosa. Ejekan orang menyebabkannya berubah.
Dia ingin didengari. Dia ingin bercinta. Dia ingin shhh kan orang. Maka, dia kurus dan bercinta dengan CRUSH aku. Perempuan yang kerap dipuisikan dalam setiap patah kata. Sajak bercitra romantis nan penuh kerawang metafora. Biar aku cerita.
Perempuan itu sememangnya dilihat begitu cantik. Jika dia berselisih dengan mana-mana lelaki, biasanya pandangan mesti ditundukkan. Ramai mata merenungnya selama 46 saat kemudian apabila Crush perasan, dia melirikkan anak mata pada orang lain. Sukar pikat hatinya.
Fahim yang bertuah. Dengan usahanya, mungkin Crush aku melihat dia susuk bersungguh-sungguh. Tambah pula dia ahli badan rohaniah. Semakin gelora cinta Crush aku yang kuat pegangan agama itu. Pemakai agama kini boleh mencairkan sesiapa sahaja. Pemakai agama yang menunggang agama.
Esok, pagi menepis burung yang tidur. Mengejutkan seekor kucing hamil di kantin sekolah. Segera aku mencari beg Fahim. Beg berwarna hitam dengan tulisan Korea yang condong. Aku masih ingat. Untuk memastikan, aku membaca nama. Kertas vintaj DIY diletakkan di kocek hadapan.
Ajaib, tiada maklum balas. Apakah Fahim menganggap aku sebagai entiti yang asing dalam hidupnya? Tidak perlukah aku dalam hidupnya? Apakah aku malang? Tetapi aku rasa tidak. Fahim tidak hadir. Mungkin seminggu. Apakah yang terjadi?
Dalam jam 7.45 maghrib, awan biru, gema orang membaca Quran di masjid mengisi segenap ruang dalam kamar, aku mendapat satu berita mengejutkan dari Jouey, rakan karib baharunya.
Di dinding maya: aku mohon kau maafkan segala dosa Fahim. Dia menderita sakit jantung. Menyebabkan badannya cekung. Dia inginkan cinta sebelum kematiannya.
Aku rasa bersalah seolah ombak realiti menghempas tubuhku dengan amplitud yang tinggi. ARGHHH…FAHIMMMMM! MAAFKAN AKU! Aku fikir Fahim kurus hanya untuk membuat jawline dan berdendam denganku sengaja. Benarlah, fahim tidak pernah meninggalkan parut.
Betullah, semut pun tak mati kena pijak dengannya.
Aku bertanya keadaan Fahim. Dia tak balas mesej gundahku.
Dalam debar, aku lantas tertidur. Esok, rakannya menyampaikan surat balas Fahim. A4. Bukan vintaj yang lawa. Dengan gopoh dan gundah, aku membuka.
Wsalam Mir,
Maaf sudah lama aku pendamkan segala rahsia. Kau kawan aku. Dulu, kini, selamanya. Haram untuk aku terbitkan kerisauan padamu. Sejujurnya aku merindui persahabatan denganmu. Sangat-sangat rindu. Seakan sebuah magik yang tak pernah tertafsir.
Kita ibarat Oyen yang selalu kencing di pili pemadam api. Tak tahu apa-apa. Tanda kawasan. Macam aku tanda cinta mana aku nak. Tapi kau nak juga, berebut kawasan dan betina. Lucu, bukan? Maaf, Mir. Aku jahat. Aku hanya ingin merasa dicintai sekali seumur hidup.
Andai ditakdirkan nafas aku terhenti hari ini, maka kau haramkanlah segala sangka buruk terhadapku. Aku tak tahu apa yang aku sedang lakukan. Aku tak perasan aku menjadi antagonis hidupmu.
Persahabatan kita yang luntur akan dicat realiti. Aku ampunimu, dan aku harapkan kau pun mengampuniku. Lihat di atas, buruj ini sudah mengarang nama kita dalam huruf italik.