ALOR GAJAH, 7 SEPT: Bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata susulan itu, wanita berusia 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, ditahan di taska itu pada 3.30 petang bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pihak polis menerima panggilan daripada seorang wanita di wad kecemasan Hospital Alor Gajah di sini, yang memaklumkan menerima pesakit bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Menurut siasatan awal bayi itu dihantar ibu dan datuknya sekitar 7.05 pagi, sebelum ibu mangsa mendapat panggilan taska memberitahu tubuh badan mangsa berkeadaan biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai.
“Mangsa terus dibawa ke Hospital Alor Gajah dan doktor mengesahkan kematiannya sebelum bedah siasat dilakukan sekitar 6 petang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, bapa bayi itu Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata anaknya Muhammad Al Fateh Amri baru lima hari dihantar ke taska itu.
Beliau berkata ketika isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, tiba di pusat asuhan itu selepas dihubungi taska, isterinya mendapati anak mereka sudah terkulai dalam keadaan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Lebih menyayat hati pasangan itu sudah menunggu 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata dan tidak sangka ia berlaku selepas isterinya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak.
“Baru lima hari hantar dan ini yang terjadi,” katanya sayu.
Beliau yang bertugas di Kem Perdana Sungai Besi Kuala Lumpur berkata lebih mengejutkan apabila mengetahui pusat asuhan tersebut tidak mempunyai lesen meskipun sudah empat tahun beroperasi.
“Memang terkejut kerana selama ini saya ingat pusat asuhan itu ada lesen tapi apabila disoal siasat polis, rupanya tak ada dan saya sangat terkilan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah malam tadi.