ad
AGENSI

40,333 peniaga sertai PLATS sejak 2020, akses kepada ekonomi digital

6 Sep 2024, 12:00 PM
40,333 peniaga sertai PLATS sejak 2020, akses kepada ekonomi digital
40,333 peniaga sertai PLATS sejak 2020, akses kepada ekonomi digital

SHAH ALAM, 6 SEPT: Seramai 40,333 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar dengan Platform Selangor (PLATS) sejak diperkenal pada 2020.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata Kerajaan Negeri menyasar 50,000 peniaga menyertai PLATS menjelang tahun depan.

“PLATS asalnya idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pandemik Covid-19, perniagaan tidak boleh dilaksana secara terbuka. Ketika itu dikenali dengan program E-kitchen melalui kerjasama dengan Grab.

“Sejumlah 133 orang diberi bantuan tunai untuk laksana perniagaan secara online. Kerajaan Negeri ingin memperluaskan pemberian bantuan dengan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk peroleh data peniaga.

“Melalui kerjasama baik dengan 12 PBT ini kita jenamakan ke PLATS kini 40,333 berdaftar melalui saringan dibuat dan mereka yang tidak aktif lagi dalam perniagaan kita keluar dari senarai (data),” katanya kepada Selangorkini.

[caption id="attachment_662024" align="alignnone" width="841"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemu bual Media Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 6 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Ahmad Azri memaklumkan melalui PLATS juga peniaga mendapat akses kepada bantuan pendigitilan yang membolehkan perniagaan mereka beralih ke ekonomi digital dengan lebih efektif.

Tambahnya, platform itu menyediakan akses kepada bantuan pembiayaan sejumlah RM3,000 tanpa faedah melalui inisiatif PLATS Biaya bagi mengembangkan perniagaan.

“PLATS turut membuka peluang peniaga menyertai jelajah Kerajaan Negeri memacu jualan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

“Contoh, program Pameran Udara Selangor (SAS) bulan ini, seramai 30 peniaga dalam ruangan pavilion yang cantik, mereka berpeluang berniaga hadapan jet serta pesawat mewah,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.