SHAH ALAM, 6 SEPT: Pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid sekolah rendah dalam kenderaan itu hingga tular di media sosial ditahan di Simpang Renggam, Kluang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, jam 2.57 pagi, lapor Sinar Harian.
"Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan penularan rakaman video yang memaparkan kanak-kanak dalam bas dipandu seorang lelaki.
"Ia kemudian dimuat naik oleh pemilik atau pengendali akaun TikTok Abang Bas. Hantaran tersebut masih wujud dan boleh diakses di laman sosial," katanya seperti dilaporkan portal itu.
Menurut Kumar, telefon dipercayai digunakan untuk memuat naik video turut dirampas dan pihaknya mengalu-alukan kerjasama ibu bapa kanak-kanak terlibat supaya tampil membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (a)(iii) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seskyen 15(2) Akta Kanak 2001.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi laman X mengarahkan pegawainya mengambil tindakan tegas kepada individu tersebut.
Sebelum itu, tular video memaparkan seorang pemandu bas dengan lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap sebagai 'crush' atau diminati.
Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid berkenaan dengan jelas.