ad
AGENSI

Usahawan teroka TikTok promosi khidmat pengiring jemaah haji

6 Sep 2024, 2:44 AM
Usahawan teroka TikTok promosi khidmat pengiring jemaah haji
Usahawan teroka TikTok promosi khidmat pengiring jemaah haji
Usahawan teroka TikTok promosi khidmat pengiring jemaah haji

HULU LANGAT, 6 SEPT: Pendedahan kepada platform digital terutama media sosial yang bergerak pantas membantu ramai usahawan mengembang dan mempromosi perniagaan secara meluas.

Di negeri ini, usaha itu diterjemah menerusi program Selangor 1000 Digital, yang dilaksanakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama beberapa agensi.

Usahawan Muhammad A’zizul Haziq Roslan, 38, berkata program itu memberi maklumat terperinci segmen pelanggan syarikatnya, yang menawarkan perkhidmatan pengiring peribadi jemaah haji dan umrah.

[caption id="attachment_661922" align="alignright" width="320"] Pembantu peribadi dan perunding haji dan umrah Muhammad A’zizul Haziq Roslan, 38[/caption]

Menggunakan kaedah bersemuka bagi promosi, jelasnya, perniagaan itu belum menembusi media sosial kerana kebanyakan pelanggannya warga emas dan tidak mahir menggunakan platform berkenaan.

"Di sini saya dapat maklumat, contohnya berapa ramai mereka yang dalam sasaran pasaran saya menggunakan TikTok. Platform itu sangat membantu saya untuk kembangkan promosi dalam talian.

“Biasanya saya ke masjid dan surau untuk promosi perkhidmatan syarikat, jadi melalui program ini, saya dapat idea untuk kembangkan kepada platform digital,” katanya ditemui semalam.

Pelajar Kolej Komuniti Hulu Langat Zaidatul Alisa Najwa Mohd Faris, 19, pula berkata program itu memberi peluang kepadanya dan dua lagi rakan meneroka peluang pendapatan melalui TikTok.

[caption id="attachment_661923" align="alignleft" width="282"] Pelajar Kolej Komuniti Hulu Langat Zaidatul Alisa Najwa Mohd Faris, 19[/caption]

“Kita dapat belajar mengenai TikTok Shop dan Tiktok for Business untuk menjana pendapatan tanpa modal. Sangat bermanfaat untuk kumpul ilmu baharu dan manfaatkan platform media sosial,” katanya.

Semalam, EXCO Keusahawanan Najwan Halimi menyempurnakan majlis perasmian program tersebut, yang berjaya menarik penyertaan 450 peserta.

Bakal menjelajah ke sembilan daerah sehingga tahun depan, lebih 1,000 usahawan mendapat manfaat sejak Mei, bagi memperluas transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

Selain MBI, program itu mendapat kerjasama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.