Oleh Danial Dzulkifly
KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Sumbangan besar ekonomi Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 25.9 peratus tahun lalu disifatkan sebagai pencapaian mengagumkan.
Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Bank Islam berkata negeri itu juga konsisten sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia, dengan menyumbang lebih 25 peratus kepada KDNK sejak 2022.
Datuk Mohd Muazzam Mohamed turut memuji Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang menurutnya berjaya merangka laluan yang jelas untuk kemajuan ekonomi Selangor.
“Selangor sudah lama menjadi kuasa penggerak di sebalik ekonomi Malaysia dan kekal sebagai penyumbang terbesar KDNK negara. Tidak dapat dinafikan peranan penting yang dimainkan Selangor.
“Kini, rangka kerja RS-1 akan membimbing usaha pembangunan negeri ini untuk mencapai matlamatnya menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi dan kompetitif.
“RS-1 menggabungkan semangat inklusiviti, kelestarian, dan inovasi untuk memastikan kemakmuran yang dicapai dinikmati semua, terutama rakyat Selangor,” katanya di sini semalam.
Bercakap dalam program Bicara Bersama Menteri Besar: Kajian Separuh Penggal RS-1, Muazzam menyatakan sokongan Bank Islam terhadap RS-1 dan trajektori pertumbuhan ekonomi Selangor.
Tambahnya, BIMB Securities, anak syarikat Bank Islam akan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk menyediakan maklumat dan pandangan mengenai potensi ekonomi Selangor.
“BIMB Securities merancang beberapa program dari sekarang sehingga Disember 2024 untuk perkongsian ilmu dan mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi landskap ekonomi yang dinamik dengan lebih yakin.
“Bank Islam akan terus menyokong usaha pembangunan Selangor melalui kerjasama strategik dan jangka panjang demi kemakmuran bersama,” katanya.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai, pertumbuhan ekonomi Selangor meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu,
Laporan jabatan itu turut menunjukkan pertumbuhan KDNK tiga negeri lain merekodkan angka melebihi kadar seluruh negara iaitu Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).
“Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.7 peratus kepada ekonomi Malaysia,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin