ad
BERITA UTAMA

Proses pemutihan inap desa atasi binaan atas tanah pertanian

6 Sep 2024, 12:30 AM
Proses pemutihan inap desa atasi binaan atas tanah pertanian

SERI KEMBANGAN, 6 SEPT: Kerajaan Selangor akan melaksanakan proses pemutihan inap desa dengan kaedah bersesuaian bagi mengatasi isu penginapan yang diusahakan atas tanah pertanian.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata langkah itu juga bagi memastikan penginapan yang memberi saingan kepada industri perhotelan beroperasi secara sah dan mengikut piawaian.

"Kita akui terdapat masalah inap desa dibina atas tanah pertanian selain menerima aduan daripada pengusaha hotel. Oleh itu, kita cuba bantu dengan laksana pemutihan.

"Kerajaan Negeri mahu kedua-dua industri ini terus berkembang kerana mereka memainkan peranan masing-masing dan kita akan selaraskan dengan lebih baik," katanya di sini, semalam.

Ditemui selepas melawat Farm in the City, Suee Lim berkata pihaknya bercadang supaya inap desa berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelasnya, langkah itu bagi menjamin keselamatan pelancong dan membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat jika berlaku kejadian tidak diingini di mana-mana tempat penginapan.

"Kita tidak mahu jika sesuatu berlaku akhirnya Kerajaan Negeri dikecam kerana tidak memantau. Jika ada isu berbangkit membabitkan PBT, kita sedia membantu," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.