SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengutip RM5.8 juta bayaran tempat letak kereta bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Ogos.
Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata daripada jumlah tersebut kutipan RM2.8 juta dibuat melalui atas talian dan RM2.6 juta menerusi sewaan petak khas.
"Sementara itu RM226,000 lagi dikutip daripada pas bulanan penduduk dan RM191,000 menerusi kutipan pas bulanan," katanya dalam mesyuarat penuh bulanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Pada masa sama, beliau memaklumkan MPAJ sudah melaksanakan sistem tempat letak kenderaan (TLK) berbayar di Panorama, Bukit Antarabangsa mulai 1 September.
Tambahnya, kemudahan TLK di kawasan itu berkeluasan 2.79 ekar yang boleh menempatkan 70 petak terbuka dengan caj RM2.00 bagi dua jam pertama dan RM1.00 bagi setiap jam seterusnya.
“Kemudahan ini akan dibuka secara percuma pada setiap hari Jumaat dari pukul 12 tengah hari sehingga 3 petang,” jelasnya.