HULU LANGAT, 5 SEPT: Kira-kira 43,000 peniaga berdaftar dengan Platform Selangor (PLATS) setakat ini untuk mengembangkan perniagaan dan meluaskan capaian pasaran.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program yang mula diperkenal pada 2020 kini memberi manfaat kepada puluhan ribu usahawan terutama kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
[caption id="attachment_661852" align="aligncenter" width="811"] Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas majlis perasmian program Selangor 1000 Digital bagi Siri 4 Hulu Langat di Dewan Seri Chempaka, Hulu Langat pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Saya sentiasa tekankan kita tidak berbangga dengan jumlah pendaftaran yang banyak tetapi yang lebih penting manfaat apa yang diberikan kepada mereka.
“Sudah banyak yang terima manfaat daripada pelbagai sudut termasuk latihan keusahawanan dan program memberdaya usahawan sehingga banyak cerita kejayaan yang kita dengar daripada mereka,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ditemui pada program Selangor 1000 Digital daerah Hulu Langat hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Loo Chuan Boon berkata lebih 80 inisiatif yang memfokuskan kepada transformasi digital diperkenal agensi itu untuk memberdaya usahawan.
[caption id="attachment_661851" align="aligncenter" width="812"] Ketua Pegawai Operasi Sidec Loo Chuan Boon bercakap kepada media selepas majlis perasmian Program Selangor 1000 Digital bagi Siri 4 Hulu Langat di Dewan Seri Chempaka, Hulu Langat pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Ini termasuk Selangor E-Commerce Xccelerator Programme (ECX24) yang memasuki kohort kedua pengambilan tahun ini dengan 30 usahawan berjaya dibimbing pada kohort pertama.
“Kita sentiasa menganjurkan program bagi memberi pendedahan kepada usahawan mengenai dunia digital yang sangat bermanfaat untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
[caption id="attachment_661850" align="aligncenter" width="730"] Pegawai Kewangan Yayasan Hijrah Selangor Mohd Radzi Idrus bercakap kepada media selepas majlis perasmian Program Selangor 1000 Digital bagi Siri 4 Hulu Langat di Dewan Seri Chempaka, Hulu Langat pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pegawai Kewangan Yayasan Hijrah Selangor Mohd Radzi Idrus pula berkata agensi itu meluluskan pembiayaan RM749 juta kepada lebih 57,000 peminjam sejak 2015 bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan.
“Antara yang paling banyak adalah menerusi skim i-Bisnes dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI),” katanya.
[caption id="attachment_661830" align="aligncenter" width="808"] EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) melawat reruai selepas Majlis Perasmian Program Selangor 1000 Digital bagi Siri 4 Hulu Langat di Dewan Seri Chempaka, Hulu Langat pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyempurnakan majlis perasmian Selangor 1000 Digital daerah Hulu Langat yang berjaya menarik penyertaan 450 peserta.
Bakal menjelajah ke sembilan daerah sehingga tahun depan, sejak Mei lalu, lebih 1,000 usahawan mendapat manfaat daripada program itu sehingga kini yang bertujuan memperluas transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.
Selain MBI, program itu turut berkolaborasi dengan Sidec, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan PLATS.