SHAH ALAM, 5 SEPT: Umat Islam diseru lebih peka dan cakna terhadap kepentingan mencari premis makanan yang memiliki pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato' Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata tindakan tegas masyarakat berupaya 'memaksa' pengusaha premis memperoleh pengesahan sijil halal.
“Memang kita tiada akta khusus yang mewajibkan kedai makan ada sijil halal, tapi Jakim akan kaji kerana ia libatkan banyak agensi dan beberapa akta juga perlu dipinda.
“Setakat ini saya harap sangat masyarakat ada kesedaran untuk cari restoran yang ada sijil halal yang sah. Dengan cara itu, boleh paksa pengusaha makanan ini mengambil sijil halal,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Perundangan Keluarga Antarabangsa 2024 dengan tema 'Memperkasa Nafkah Anak' di sini hari ini. Hadir sama EXCO Agama Dr Fahmi Ngah.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im menafikan tatacara permohonan dan pembaharuan sijil halal memerlukan perbelanjaan tinggi selain mengambil tempoh yang panjang.
Jelasnya, proses tersebut hanya memerlukan kos antara RM100 hingga RM200 dengan tempoh masa tidak melebihi 30 hari berbanding 90 hari sebelum ini.
“Usaha untuk pendekkan masa proses sijil halal ini kita masih terus jalankan. Antaranya kita sedang tambah baik sistem dalam talian e-halal untuk pendekkan lagi tempoh prosesnya,” katanya.
Kelmarin, Jakim dalam kenyataan memaklumkan lima rangkaian restoran terkemuka bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berdasarkan semakan menerusi sistem MYeHALAL.
Lima premis makanan tersebut adalah Johnny's Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.