ad
AGENDA

Anwar ucap terima kasih kepada Putin atas jemputan ke Sidang Kemuncak BRICS

5 Sep 2024, 10:12 AM
Anwar ucap terima kasih kepada Putin atas jemputan ke Sidang Kemuncak BRICS

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Presiden Rusia Vladimir Putin kerana menjemput beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS pada bulan depan di Kazan, Rusia.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih itu semasa ucapannya pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Vladivostok, Rusia, hari ini, yang turut dihadiri komuniti pelaburan utama negara tersebut dan juga global.

“Jemputan ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat utama kami untuk menyertai kumpulan tersebut,” kata Perdana Menteri.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata dengan memohon menyertai BRICS, Malaysia menyasar untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonomi negara dan meningkatkan kerjasama dengan negara anggota melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.

Rusia kini merupakan pengerusi BRICS.

BRICS adalah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

Secara kumulatif, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara kumpulan G7. (US$1 = RM4.34)

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan populasi besar sebanyak 3.21 bilion yang dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE yang berpenduduk 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran mega merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus daripada penduduk dunia.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.