ad
AGENSI

Mpox: Tutup sempadan langkah terakhir, Selangor buat pemetaan risiko

5 Sep 2024, 8:28 AM
Mpox: Tutup sempadan langkah terakhir, Selangor buat pemetaan risiko

SHAH ALAM, 5 SEPT: Tindakan menutup sempadan negara disifatkan langkah akhir bagi mengawal penularan penyakit cacar monyet atau Mpox, kata ahli penasihat kesihatan awam Selangor.

Sebaliknya, Dr Mohammad Farhan Rusli berkata Selangor mengambil pendekatan strategik dengan membuat pemetaan risiko dalam kalangan individu mahupun pelawat yang memasuki negeri ini.

"Perkara drastik tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana impak khusus kepada rakyat Selangor, yang tidak mahu memasuki fasa itu lagi. Negara atau negeri progresif akan buat pemantauan.

"Ambil maklum negeri berisiko, pelawat yang masuk ada berapa penerbangan khas berisiko, sejarah perjalanan lebih strategik, siapa perlu diasingkan melalui pemetaan risiko," katanya.

Bercakap dalam program Hai Selangor pagi tadi, jelasnya, negeri ini sentiasa mencari langkah terbaik mengawal penularan penyakit termasuk bekerjasama dengan agensi pendidikan.

Dr Mohammad Farhan menambah penerangan dibuat dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti mereka yang berisiko atau dijangkiti termasuk menyediakan sistem sokongan melalui pegawai perubatan.

"Selangor bersama Jabatan Pendidikan untuk memberi pemahaman apa yang boleh berlaku selain perancangan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi di negeri ini," katanya.

Bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa, menyaksikan banyak negara mengambil langkah awal mencegah penularan virus itu.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.