ad
BERITA UTAMA

Bongkar dua peristiwa besar hura-harakan negara sebelum merdeka

5 Sep 2024, 5:18 AM
Bongkar dua peristiwa besar hura-harakan negara sebelum merdeka
Bongkar dua peristiwa besar hura-harakan negara sebelum merdeka

Babak sejarah Malaya ketika perang, kelompongan kuasa pascaperang dan keganasan gerila komunis sehingga merdeka dikupas dalam empat karya utama terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Diterjemahkan pengasas Hubooks Syed Omar Husain, peristiwa dirakam antara 1940 hingga 1960 dalam naskhah asal bahasa Inggeris menelusuri punca terjadinya pelbagai isu berbangkit antara kaum yang menghantui negara sehingga kini.

Menerusi Siri Pencerahan Selangor, projek yang digerakkan Kerajaan Selangor sejak 2016, Syed Omar mula menterjemah Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-60 diikuti Bintang Merah di Langit Malaya terbitan IBDE dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Kemudian, Syed Omar menterjemah Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya. Terbaharu, Mata-Mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945-1960 bersama Razan Rose, kali ini IBDE bekerjasama dengan Media Selangor.

Sempena Hari Malaysia, Selangorkini memapar bahagian akhir temu bual bersama Syed Omar yang berkongsi pengalaman menterjemah empat buku itu dan pandangannya mengenai sejarah tanah air. Klik untuk bahagian satu.

[caption id="attachment_661507" align="alignnone" width="824"] Syed Omar Husain[/caption]

Bagaimana proses awal menterjemah setiap buku-buku ini? Misalnya, perlukah membaca sampai habis teks asal? Perlukah kajian lain sebagai sokongan?

Saya fikir kalau penterjemah langsung tidak tahu atau tidak biasa dengan subjek yang dibicarakan oleh buku yang hendak diterjemahkannya, maka memang dia perlu membaca naskhah asal sampai habis, sampai dia betul-betul memahaminya.

Dalam kes saya, mujurlah subjek utama yang disentuh oleh keempat-empat buku itu bukanlah sesuatu yang terlalu asing buat saya.

Dengan sebab itu, saya selalunya membaca buku asal secara sepintas lalu sahaja untuk memahami secara kasar tema dan isi utamanya.

Daripada pembacaan awal ini juga saya boleh menganggarkan betapa susahnya proses penterjemahan yang bakal saya lalui nanti; mungkin sebab isi kandungannya; mungkin sebab struktur bahasanya; mungkin sebab penggunaan istilahnya.

Kajian lain sebagai sokongan memang perlu, seperti merujuk silang teks-teks lain bagi memastikan nama watak, babak peristiwa, terjemahan istilah dan lain-lain.

Mujurlah saya ada banyak juga buku sejarah Malaysia di perpustakaan di rumah dan internet memang sangat membantu.

Saya juga merujuk kepada rakan-rakan tertentu untuk memastikan beberapa fakta. Sewaktu menterjemahkan buku Tanpa Ampun saya merujuk kepada seorang kawan daripada suku kaum Orang Asli untuk memahami beberapa aspek tentang kehidupan mereka seperti yang dicatat oleh Chapman, termasuk nama haiwan dan pokok.

Apa cabaran/kesukaran menterjemah karya ini, misalnya bahasa, istilah, jalan cerita (atau lain-lain) membabitkan keempat-empat buku IBDE itu?

Bahasa dan istilah.

Bagi empat buku IBDE itu, apa ilmu baharu diperoleh ketika menterjemah?

Saya dapati menterjemah sesebuah buku bukan sahaja menuntut penterjemah menguasai, selain bahasa asal dan bahasa sasaran terjemahannya, bidang yang dibicarakan oleh buku itu, tetapi dia juga perlu tahu serba sedikit bidang-bidang lain atau tahu di mana hendak membuat rujukan.

Ketika menterjemahkan buku Perang Anjing Suruhan dan Tanpa Ampun, perkara yang paling sukar bagi saya dari sudut proses penterjemahan bukanlah sangat inti sejarahnya tetapi hal-hal lain seperti botani, geologi, ketenteraan dan budaya.

Satu perkara lagi yang saya peroleh bukan sangat ilmu baharu tetapi lebih kepada kesedaran tentang perlunya berusaha lebih gigih untuk menggunakan bahasa Melayu, kalau boleh sepenuhnya.

Sewaktu menterjemahkan buku Bintang Merah, penyunting IBDE, Karim (Mohd) menegur saya kerana menggunakan terlalu banyak perkataan yang diambil langsung daripada bahasa Inggeris: industri, objektif, serius dan lain-lain.

Teguran itu benar-benar menyentak dan menyedarkan saya. Jadi selepas itu saya akan cuba mencari perkataan bahasa Melayu yang sesuai dan tidak semberono memakai perkataan bahasa Inggeris walaupun sudah diterima dalam bahasa Melayu.

Barulah saya sedar serious boleh diterjemahkan kepada berat, tenat, sungguh-sungguh, besar dan sebagainya; yakni, tidak wajar dengan semberono diterjemahkan kepada serius sahaja untuk semua konteks.

Berapa lama proses terjemahan bagi setiap buku IBDE berkenaan?

Dalam kes saya, saya diberikan masa sekitar sepuluh bulan hingga setahun untuk menyiapkan terjemahan. Namun, draf terjemahan perlu dihantar secara berperingkat-peringkat.

Untuk sebuah buku, saya perlu menghantar sebanyak enam atau tujuh kali. Jadi, secara purata saya menghantar draf terjemahan setiap empat, lima minggu sekali.

Cukupkah tempoh yang diberikan?

Kalau ikutkan memanglah tidak mencukupi. Tetapi IBDE ada sasaran tertentu yang perlu dipenuhinya. Lagipun, saya percaya kalau diberikan masa yang lebih panjang, katakan dua tahun, belum tentu saya boleh siapkan tepat pada masanya.

Apa pengajaran dalam empat karya IBDE ini yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Yang utamanya barangkali adalah siapa dan apa kita sebagai rakyat dan bangsa Malaysia hari ini sebahagian besarnya dipengaruhi dan dibentuk oleh sejarah dan peristiwa silam.

Justeru, menelaah, menyelami dan memahami sejarah silam adalah sesuatu yang amat penting bagi proses pembinaan jati diri, pembangunan bangsa dan kelestarian negara.

Antara empat buku IBDE ini yang mana paling menarik dan memberi kesan mendalam?

Secara peribadi dan bersesuaian dengan konteks sosio-politik masa kini, Bintang Merah. Buku ini memberikan beberapa latar sejarah dan faktor sosial, politik, ekonomi, budaya, malah agama yang saya fikir sebahagian besarnya mencorakkan negara dan masyarakat kita hari ini.

Antaranya ialah gerakan kemerdekaan orang Melayu, gerakan PKM (Parti Komunis Malaya), kesan pendudukan Jepun, Selendang Merah, Bintang Tiga, Malayan Union, dan sebagainya.

Dan salah satu perkara yang penting ialah hubungan kaum di Malaysia, khususnya antara orang Melayu dengan orang Cina.

Saya amat terkesan setiap kali membaca tentang tempoh dua minggu yang serba genting dan berdarah setelah Jepun menyerah kalah dan sebelum Tentera British mendarat.

Saya sampai terfikir-fikir dan terbayang-bayang beberapa situasi “bagaimana kalau”. Bagaimana kalau tentera British sampai lebih lambat lagi?

Kalau Jepun memberikan kemerdekaan lebih awal? Kalau Lai Tek tidak mengkhianati PKM? Kalau tiada pertumpahan darah di Sungai Manik? Dan sebagainya.

Antara empat judul buku IBDE tersebut, buku mana yang mesti dibaca dahulu? Boleh nyatakan susunan tersebut?

Keempat-empat buah buku itu secara umumnya merangkumi tempoh dari 1940 hingga 1960 yang mencakupi beberapa peristiwa besar dalam negara kita, iaitu Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun, tempoh peralihan, Malayan Union, zaman darurat dan merdeka.

Kalau mahu ikut turutan peristiwa sejarah, saya cadangkan baca dahulu Tanpa Ampun yang menceritakan gerakan menentang Jepun seawal kemasukan mereka ke Malaya pada hujung 1941 sehingga kekalahan mereka pada 1945.

Namun buku yang bersifat catatan peribadi ini lebih menumpukan pada pengalaman dan pengembaraan penulis bertempur dengan dan melarikan diri daripada tentera Jepun di dalam hutan belantara Malaysia.

Kemudian, Bintang Merah yang menumpukan terutamanya pada tempoh peralihan selepas Jepun menyerah kalah dari hujung 1945 hingga 1946, termasuklah usaha Kerajaan Britain memperkenalkan dasar Malayan Union.

Buku ini ada juga menyentuh keadaan di Malaya sebelum perang. Selepas itu baca Perang Anjing Suruhan yang mengisahkan peristiwa darurat yang dicetuskan oleh PKM pada 1948 hingga diisytiharkan tamat pada 1960.

Buku Mata-Mata Gelap Malaya boleh dikatakan melengkapi buku Perang Anjing Suruhan kerana menceritakan peranan Cawangan Khas hingga berjaya menumpaskan pergerakan komunis lalu menamatkan darurat.

Apa-apa pun, saya berpendapat sekurang-kurangnya bacalah buku Bintang Merah.

Mengapa setiap rumah perlu ada buku-buku ini?

Buku-buku seperti ini perlu disimpan di rumah kita dan dibaca serta dihadam. Buku-buku sejarah negara penting bagi membolehkan kita mengimbau dan memahami peristiwa, tokoh dan keadaan yang begitu berpengaruh membentuk negara dan masyarakat kita, dan dengan itu “belajar daripada sejarah.”

Ada cadangan judul lain bertema sejarah Malaysia yang perlu diterjemah?

Terdapat banyak lagi buku yang menyentuh pendudukan Jepun, tempoh peralihan, Malayan Union, zaman darurat, merdeka dan sebagainya.

Saya sarankan sekurang-kurangnya kita telaah sejarah Malaysia dalam rentang 100 tahun terakhir; setidak-tidaknya daripada Perjanjian Pangkor 1874. Maaf saya tidak dapat menyenaraikan judul-judulnya.

Bagi mengimbangi naratif dan sudut pandang yang disajikan dalam keempat-empat buku ini dan buku-buku lain yang seumpamanya, saya cadangkan supaya dibaca juga buku-buku oleh tokoh-tokoh daripada pelbagai kelompok yang turut mewarnai sejarah negara: golongan kiri, komunis, agamawan dan sebagainya.

Setelah selesai menterjemah empat buku sejarah ini, apa pandangan mengenai sejarah negara ini?

Kita perlu akui bahawa sejarah negara kita tidaklah sentiasa berjalan dengan lancar dan tenang. Pendudukan Jepun dan darurat merupakan dua peristiwa besar yang telah menghuru-harakan negara kita dengan begitu teruk sekali.

Kedua-duanya telah meninggalkan beberapa kesan yang begitu besar dan meluas kepada masyarakat kita. Antara kesan yang cukup menyedihkan ialah kejadian bunuh-membunuh antara kaum yang berlaku sejurus selepas Jepun menyerah kalah.

Dari buku-buku ini juga, terutamanya Bintang Merah, kita boleh menyusur galur punca terjadinya perselisihan antara kaum yang sampai sekarang sering menghantui kita dan sering dijadikan bahan bagi memporak-perandakan keharmonian Malaysia.

Saya percaya sejarah Malaysia, termasuk yang berlaku sepanjang seratus tahun terakhir, belum lagi ditulis secara tuntas dan lengkap.

Ini kerana masih banyak lagi maklumat tidak ditemui dan banyak dokumen rahsia dan rasmi kerajaan (Britain dan Malaysia; mungkin juga Singapura) masih belum dibuka kepada orang ramai.

Lantaran itu, perlu ada banyak lagi usaha menulis sejarah Malaysia daripada pelbagai sisi dan sudut pandang, khususnya yang mengangkat naratif-naratif dan watak-watak tempatan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.