ad
AGENDA

Maritim Selangor tahan kapal pasir berlabuh tanpa kebenaran di Pulau Indah

4 Sep 2024, 1:30 PM
Maritim Selangor tahan kapal pasir berlabuh tanpa kebenaran di Pulau Indah

SHAH ALAM, 4 SEPT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal pasir yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara jeti Sungai Kembung di Pulau Indah, Klang pada 2.18 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata pihaknya menerima aduan berkenaan kapal pasir tersebut yang didakwa berlabuh di lokasi itu sejak beberapa hari lalu sebelum menggerakkan bot ronda Maritim untuk membuat pemeriksaan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan lapan individu lelaki warga asing berumur antara 30 hingga 65 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal itu dikendalikan nakhoda berumur 36 tahun bersama seorang kru, kedua-duanya warga Indonesia manakala enam yang lain merupakan warga China berumur antara 30 hingga 65 tahun.

“Mereka juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk bersauh dan mereka dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.