SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri tekad memastikan mutu perkhidmatan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dipertingkat bagi memenuhi jangkaan penduduk.
EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim berkata masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
[caption id="attachment_661655" align="aligncenter" width="812"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato' Ng Suee Lim ditemu bual di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Kita (perhidmatan PBT) boleh jadi lebih baik sebenarnya. Masih banyak kelemahan yang boleh dibaiki dan kita akan usahakan perkara itu.
“Sebagai contoh adalah aduan sampah, landskap dan masalah longkang. Jadi tahun ini kita berazam untuk kerja lebih kuat,” katanya dalam wawancara bersama Media Selangor hari ini.
Suee Lim menambah, usaha memperkasa mutu perkhimatan PBT juga akan meningkatkan imej Selangor selaku negeri termaju dan penyumbang ekonomi terbesar di Malaysia.
“Saya tahu, isu PBT di Selangor sering jadi perhatian orang ramai dan media, tambahan pula kita merupakan penyumbang ekonomi terbesar di Malaysia.
“Jadi, kita akan terus berusaha untuk tingkatkan mutu perkhidmatan PBT bagi memastikan imej Kerajaan Negeri sentiasa dalam keadaan baik dan tidak dipertikai mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Suee Lim memaklumkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang diterima Kerajaan Negeri dijangka dilaksana menjelang akhir tahun ini.
Jelasnya, akta tersebut bakal menjadikan pengurusan sisa pepejal di negeri ini lebih mampan selain memperoleh lebih sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Saya yakin selepas ini pengurusan sisa pepejal kita akan menjadi lebih baik. Saya jangka akta itu akan dilaksana pada akhir tahun ini. Sekarang ia di peringkat perbincangan di Kabinet,” katanya.
Pada Mei lalu, Kerajaan Negeri bersetuju menerima pakai Akta 672, sekali gus menjadi negeri kelapan selepas Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Akta itu memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalseliaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap selain merancakkan ekonomi kitaran.