ad
PBT

Operasi tangkap buaya, kawasan Tasik Seksyen 7 ditutup sementara 8 malam ini

4 Sep 2024, 11:26 AM
Operasi tangkap buaya, kawasan Tasik Seksyen 7 ditutup sementara 8 malam ini

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kawasan rekreasi di sekitar Tasik Seksyen 7, di sini ditutup sementara bermula 8 malam ini bagi membolehkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menjalankan operasi menangkap buaya.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataan memaklumkan sepanjang penutupan itu, aktiviti memancing tidak dibenarkan.

"Penutupan sementara ini membabitkan aktiviti rekreasi di sekitar tasik seperti berjoging bermula 8 malam hingga 7 pagi iaitu sehingga operasi menangkap buaya selesai.

"Langkah ini diambil bagi memastikan keadaan sekeliling yang lebih sunyi semasa operasi selain memastikan keselamatan orang awam dan mengelakkan insiden tidak diingini," menurut kenyataan itu.

Menurut MBSA gerai makanan masih lagi dibenarkan beroperasi seperti biasa dan tamat operasi perniagaan pada 7 malam.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati apabila berada di kawasan Tasik Seksyen 7 sehingga operasi menangkap buaya selesai dijalankan.

Sebelum ini, Perhilitan Selangor dilaporkan memasang dua perangkap di tasik berkenaan bagi menangkap reptilia itu manakala MBSA memasang jaring di lima saluran air bagi mengelak haiwan berkenaan terlepas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.