ad
AGENDA

MB sertai PM ke Rusia, perkukuh kerjasama dua hala

4 Sep 2024, 8:04 AM
MB sertai PM ke Rusia, perkukuh kerjasama dua hala

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari tiba di Vladivostok, Rusia untuk mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Forum Ekonomi Timur (EEF).

Menerusi Facebook, Amirudin memaklumkan perdana menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas ‘Pre-Council’ sejurus tiba, bagi membincangkan agenda semasa lawatan kerja dua hari itu.

"Saya turut mendengar taklimat dan laporan berkait perjalanan program serta memberikan input perihal Selangor dan kesalinghubungannya dengan Rusia.

“Insya-Allah jadual padat sepanjang satu hari setengah ini akan diisi dengan pertemuan serta perbincangan bersama pelbagai pihak dan industri di Rusia terutama pertemuan khas perdana menteri bersama Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin,” katanya.

Lawatan itu turut disertai Menteri Luar Negeri Dato' Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Aziz.

Terdahulu, media melaporkan pesawat khas yang membawa perdana menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada jam 6.33 pagi waktu Malaysia.

Anwar yang juga menteri kewangan akan menghadiri EEF kesembilan pada 3 hingga 6 September dan berucap dalam sidang pleno pada 5 September.

Kemuncak lawatan adalah pertemuan dua hala dengan Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.