SHAH ALAM, 4 SEPT: Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kawasan Lembah Klang Raya bakal menggunakan satu garis panduan bersepadu menjelang 2026, kata EXCO kerajaan tempatan.
Dato' Ng Suee Lim berkata panduan yang sedang dirangka itu bagi memastikan semua pelaksanaan undang-undang di Klang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya diperkemas dan diseragamkan.
“Empat bandar raya ini akan digabung menjadi Lembah Klang Raya dan sekali gus diramal menjadi bandar metropolis di Selangor dan Malaysia.
“Jadi kita perlu seragamkan kepakaran, sumber, kewangan dan apa sahaja supaya mereka tidak bersaing sesama sendiri, selain memudahkan penduduk untuk berurusan,” katanya kepada Selangorkini.
Metropolis merujuk kepada bandar raya dengan lebih sejuta penduduk, yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran, perniagaan, perdagangan, perindustrian serta berteknologi tinggi.
[caption id="attachment_661654" align="aligncenter" width="697"] Temu bual wartawan Media Selangor bersama EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato' Ng Suee Lim di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Suee Lim menambah Selangor turut menubuhkan Mesyuarat Jawatankuasa Penyeragaman bawah Jawatankuasa Induk Majlis Pembangunan Lembah Klang Raya bagi merealisasi garis panduan itu.
Jelasnya, garis panduan berkenaan melibatkan pelan pengubahsuaian bangunan, buku panduan teknikal kejuruteraan, undang-undang kecil, dan pembangunan mampan di setiap PBT.
“Kita akan memastikan semua pihak berkepentingan dan pembayar cukai terlibat untuk memberi maklum balas mereka sebelum garis panduan ini dilaksana secara menyeluruh,” katanya.
Lembah Klang Raya diumum menerusi Belanjawan 2024 pada November tahun lalu dengan peruntukan RM2 juta bagi menggabungkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilapor berkata Lembah Klang Raya berpotensi menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan mampu tersenarai antara lima lembah utama di Asia.