GERIK, 4 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai panel pakar dalam bidang masing-masing bagi memastikan fakta terkandung dalam buku teks atau sukatan pelajaran pendidikan, termasuk subjek Sejarah mantap dan tepat, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Wong berkata kandungan buku teks serta sukatan pelajaran pendidikan sedia ada setakat ini hasil libat urus antara pihak KPM dengan pakar subjek berkenaan.
[caption id="attachment_661649" align="aligncenter" width="814"] Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh. Foto BERNAMA[/caption]
“Bagi pihak KPM, kandungan subjek sedia ada ini mantap dan seperti sedia maklum pada tahun 2027 kita akan melaksanakan kurikulum baharu untuk sekolah serta proses libat urus berkenaan input, kurikulum berkenaan sedang giat dilaksanakan.
“Sesiapa pun ada pandangan masing-masing, mereka ini boleh pada bila-bila masa kemukakan kepada KPM. Kami mengambil satu sikap terbuka terhadap semua pandangan yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas program lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di sini hari ini.
Pada 2 Sept lepas, media melaporkan pakar sejarah melahirkan rasa tidak puas hati dan kesal terhadap buku teks Sejarah tempatan yang masih tidak diubah faktanya meskipun terdapat banyak rekod serta sumber membuktikan tidak tepat.
Dalam isu berasingan, Wong berkata kerjasama antara pihak KPM dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sedang diteruskan untuk memastikan keperluan guru dapat ditangani termasuk melalui penempatan atau pengambilan guru oleh pihak SPP.
Beliau berkata isu kekurangan guru antara isu sumber manusia dan masalah itu diberikan perhatian amat serius oleh KPM.
“Pada tahun lepas sahaja kita telah diberikan sejumlah 20,000 guru yang telah pun diambil oleh SPP dan ditempatkan di sekolah masing-masing serta kami juga jangka pada akhir bulan ini atau awal Oktober, penempatan baharu graduan PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) KPM akan diselesaikan.
“Usaha ini dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa dan pihak kami akan memastikan isu guru ini dapat diselesaikan,” katanya.
- BERNAMA