SHAH ALAM, 4 SEPT: Pengurusan Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia menjelaskan restoran itu masih belum disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Bagaimanapun, pihaknya berkata bahan mentah termasuk telur, ayam dan daging yang digunakan diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal dan boleh dirujuk jika perlu.
"Johnny’s Restaurant dan Black Canyon juga memberi keyakinan kepada pelanggan tiada pengunaan alkohol atau wain dalam pemprosesan atau penyediaan makanan dan minuman," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi, syarikat itu memahami kepentingan pensijilan halal kepada pelanggan dan sedang berusaha mendapatkannya daripada Jakim untuk dapur berpusat dan pensijilan di semua cawangan.
Pengurusan premis makanan itu juga berharap penjelasan dikemukakan akan menangani kebimbangan pelanggan, dengan keutamaan kepada hidangan makanan yang lazat, selamat dan asli.
Semalam, Jakim memaklumkan lima restoran terkemuka yang beroperasi di negara ini tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Selain Johnny’s Restaurant dan Black Canyon, tiga lagi premis makanan itu ialah Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw menerusi semakan dalam sistem MYeHALAL Jakim.
Semakan status halal bagi mana-mana premis atau produk boleh dibuat melalui pautan http://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php.
[caption id="attachment_661624" align="aligncenter" width="500"] Kenyataan media dikeluarkan pengurusan Johnny's Restaurants and Black Canyon Malaysia pada 4 September 2024[/caption]