PUTRAJAYA, 3 SEPT: Pengamal media yang menggunakan pelan pascabayar dan prabayar akan menerima rebat sempena sambutan bulan kebangsaan tahun ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Sehubungan itu, beliau meminta pengamal media yang menggunakan pelan prabayar untuk memastikan nombor telefon mereka berdaftar dengan Jabatan Penerangan, supaya urusan perolehan rebat dapat diselaraskan.
“Ada sejumlah pengamal media yang memaklumkan mereka tidak menggunakan pelan pascabayar. Jadi kami mendengar, menerima pandangan itu dan saya telah minta supaya pihak kementerian berhubung dengan syarikat telekomunikasi.
“Maka semua pengamal media tahun ini (sempena Bulan Kebangsaan) akan mendapat rebat, sama ada mereka menggunakan plan pascabayar ataupun prabayar,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media iaitu tawaran rebat bil telefon pelan pascabayar kepada pengamal media secara sekali beri, dilaksanakan bagi bayaran bil Ogos tahun ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan insentif yang diperkenalkan tahun lalu itu diteruskan tahun ini, seperti diumumkan Fahmi pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Mei lalu.
Fahmi berkata jumlah rebat akan diselaraskan syarikat telekomunikasi dan pelaksanaan akan diteliti Kementerian Komunikasi.
“Jadi tahun ini, apa yang telah diperoleh dari segi rebat adalah lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.
- BERNAMA