SHAH ALAM, 3 SEPT: Draf pertama Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor dijadual dibentang kumpulan penyelidik pada 11 September ini, kata EXCO kebajikan masyarakat.
Maklum Anfaal Saari selepas pembentangan draf pertama, sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) pula dijadual diadakan pada 4 Oktober bagi mendapatkan maklum balas berkaitan.
“Selepas sesi libat urus mungkin ada pindaan pada draf pertama, seterusnya pembentangan draf kedua dan selepas itu mungkin boleh diangkat sebagai usul dalam Sidang Dewan Negeri.
“Seterusnya, jika semuanya mengikut jadual kita optimis Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor boleh dilancar mengikut jadual pada November ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya dasar yang mengandungi lima teras utama berkaitan sektor ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas itu dijangka melibatkan kerangka bagi tempoh empat hingga lima tahun.
Sebelum ini Anfaal berkata Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang dijangka dilancarkan November ini menjadi kerangka penting untuk mendepani cabaran negara menua dan meningkatkan kesejahteraan sosial.
Lima elemen penting digariskan dalam kerangka sektor ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas di Selangor iaitu advokasi dan promosi, tatakelola dan kawal selia, tenaga kerja dan penjaga terlatih, pelaburan dan kerjasama serta inovasi dan teknologi.