ad
AGENDA

Jakim: Lima restoran terkenal tiada sijil halal

3 Sep 2024, 6:16 AM
Jakim: Lima restoran terkenal tiada sijil halal

SHAH ALAM, 3 SEPT: Lima restoran terkemuka yang beroperasi di negara ini tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jabatan itu menerusi kenyataan di Facebook menyebut premis makanan tersebut ialah Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Menurut agensi berkenaan, semakan tersebut dibuat berdasarkan sistem MYeHALAL Jakim selepas menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.

"Jakim mengambil maklum tularnya satu surat yang dikeluarkan jabatan ini bagi menjawab pertanyaan dalam sistem pengurusan aduan awam mengenai status halal beberapa premis makanan.

"Berdasarkan semakan dalam sistem MYeHALAL Jakim, status halal bagi premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw bukan pemegang SPHM," katanya.

Sementara itu, Jakim memaklumkan premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best yang memiliki empat cawangan mempunyai sijil pengesahan halal yang masih sah.

Jelasnya, Jakim juga mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September jam 11.36 malam, hari yang sama pertanyaan tersebut diajukan.

Sebarang status halal bagi mana-mana premis atau produk boleh disemak melalui pautan http://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.