SHAH ALAM, 28 OGOS: Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14 di sini akan dibuka semula kepada pengunjung November depan, kata EXCO kebudayaan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata muzium itu akan memperkenalkan konsep baharu iaitu pengaplikasian teknologi terkini dengan menggunakan kod QR bagi memudahkan mengakses maklumat.
"Banyak pembaharuan bagi menarik minat golongan muda mengunjungi muzium seperti mereka hanya mengimbas kod QR untuk maklumat. Selain itu, kita juga wujudkan tempat bergambar dan zon mesra kanak-kanak sebagai tarikan.
"Bukan itu sahaja, terdapat juga ruangan terbaharu yang mempamerkan 42 tanjak seluruh negeri serta koleksi adat perkahwinan Melayu, Cina dan India," katanya kepada SelangorKini.
[caption id="attachment_660615" align="alignleft" width="500"] Wawancara EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Kerajaan Selangor bakal mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Perak bagi mengangkat khazanah kapal korek sebagai warisan negara.
"Selangor mempunyai kapal korek Sri Banting di pekan Dengkil sementara Perak pula ada kapal korek Kampung Tualang. Kita bercadang mahu bekerjasama dengan Perak untuk angkat khazanah ini ke peringkat antarabangsa.
"Untuk itu, kita akan buat lawatan ke Perak dalam masa terdekat untuk bincang perkara tersebut," ujarnya.
Kapal Korek Sri Banting satu-satunya kapal korek yang masih wujud di Selangor selain Kapal Korek Tanjung Tualang 5, Batu Gajah, Perak.
Tinggalan struktur kapal korek tersebut antara kapal korek yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara.
Berukuran 86 meter panjang dan 22 meter hingga 29.3 meter lebar, ia mampu bergerak menggunakan elektrik 110 ‘bucket’ yang boleh menggerudi sedalam 30 meter ke dalam tanah.
Kapal korek itu juga menjadi simbol revolusi, kemegahan dan kemajuan industri perlombongan bijih timah di Selangor suatu masa dahulu.