ad
AGENDA

Selangor lepaskan air tujuh empangan elak risiko banjir

3 Sep 2024, 3:49 AM
Selangor lepaskan air tujuh empangan elak risiko banjir

SHAH ALAM, 3 SEPT: Selangor memulakan strategi melepaskan air di tujuh empangan secara optimum mulai 16 Ogos lalu, sebagai persediaan berdepan Monsun Timur Laut dijangka November ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pengurangan kapasiti simpanan air ke tahap antara 85 ke 90 peratus dibuat sehingga 30 September dan dikawal selia Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

"Tindakan penurunan kapasiti simpanan air ini merupakan inisiatif LUAS menyediakan ruang mencukupi bagi kesemua empangan untuk kesiapsiagaan jika menerima kadar intensiti hujan yang tinggi.

"(Ia juga) bagi mengelakkan limpahan (spill) air empangan yang berpotensi menyebabkan kesan banjir di bahagian hilir daripada berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kawalan pelepasan air empangan akan disemak mengikut perubahan cuaca, dengan simpanan tidak melebihi 95 peratus kecuali Empangan Klang Gates pada tahap 90 peratus sebelum 15 Disember.

Sementara itu, Ir Izham berkata kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates meningkat empat peratus dengan jumlah 75mm di kawasan tadahan berikutan hujan lebat pada 12 Ogos lalu.

"Namun, tiada berlaku sebarang limpahan dari empangan tersebut susulan ruang yang masih mencukupi untuk menampung kadar hujan luar biasa pada masa ini," katanya.

Tambahnya, pelepasan air empangan dilaksana secara berperingkat dan dikawal rapi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Jabatan Pengairan dan Saliran, dengan melihat tren paras air sungai semasa.

Turut dirujuk, ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia dalam tempoh tujuh hari ke hadapan untuk memastikan tiada pelepasan air jika paras sungai meningkat dan hujan lebat di kawasan hilir.

Orang ramai digalakkan merujuk status empangan Selangor secara harian di laman sesawang

https://iwrims.luas.gov.my, https://publicinfobanjir.water.gov.my atau

https://www.met.gov.my/?lang=en.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.