ad
RENCANA

Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka

3 Sep 2024, 12:15 AM
Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka
Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka
Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka
Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka
Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka
Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka
Karya agung sejarah Malaysia papar fakta langka

Babak sejarah Malaya ketika perang, kelompongan kuasa pascaperang dan keganasan gerila komunis sehingga merdeka dikupas dalam empat karya utama terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Diterjemahkan pengasas Hubooks Syed Omar Husain, peristiwa dirakam antara 1940 hingga 1960 dalam naskhah asal bahasa Inggeris menelusuri punca terjadinya pelbagai isu berbangkit antara kaum yang menghantui negara sehingga kini.

Menerusi Siri Pencerahan Selangor, projek yang digerakkan Kerajaan Selangor sejak 2016, Syed Omar mula menterjemah Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-60 diikuti Bintang Merah di Langit Malaya terbitan IBDE dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Kemudian, Syed Omar menterjemah Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya. Terbaharu, Mata-Mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945-1960 bersama Razan Rose, kali ini IBDE bekerjasama dengan Media Selangor.

Sempena Hari Malaysia, Selangorkini memapar bahagian pertama temu bual bersama Syed Omar yang berkongsi pengalaman menterjemah empat buku itu dan pandangannya mengenai sejarah tanah air.

[caption id="attachment_661506" align="aligncenter" width="728"] Empat karya utama merakam perjuangan bersejarah itu diterjemah Syed Omar Husain ke bahasa Melayu[/caption]

Sejak bila meminati karya sejarah?

Sudah lama juga, terutamanya sejarah dalam bidang yang saya gemari seperti Islam, falsafah, sains dan seni rupa. Berhubung dengan sejarah Malaysia, saya mula berminat untuk membaca lebih banyak buku tentangnya sekitar awal 2000-an.

Apa yang mendorong minat kerja terjemahan buku?

Seingat saya, minat dengan penterjemahan mula berputik sekitar darjah lima atau enam, pada akhir 1970-an, selepas membaca beberapa buah karya sastera bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Antaranya ialah novel Old Man and the Sea oleh Ernest Hemingway yang diterjemahkan dengan tajuk Orang Tua Dengan Laut oleh Abdullah Husain.

Ketika itu saya fikir kalaulah tiada orang menterjemahkan buku sastera Barat berbahasa Inggeris ke bahasa Melayu, maka orang seperti saya yang tidak mahir bahasa Inggeris tidak akan berpeluang membaca buku-buku seumpama itu.

Mungkin itu salah satu pendorong kepada saya untuk meminati penterjemahan buku. Kemudian, bila sudah dewasa, ada satu dorongan lain pula untuk saya melibatkan diri dalam bidang ini.

Bagi saya, kerja-kerja penterjemahan boleh membantu menyebarkan ilmu dan wacana dalam bahasa Inggeris, atau bahasa-bahasa lain, kepada pembaca bahasa Melayu. Saya fikir kita perlu mengambil semangat daripada kerancakan dunia penterjemahan buku di Indonesia.

Apa buku pertama terjemahan?

Bahan yang mula-mula sekali saya terjemahkan bukanlah buku tetapi makalah. Saya bekerja sebagai penterjemah bebas untuk syarikat kecil Teratak Nuromar.

Syarikat itu memberikan tumpuan menterjemahkan esei-esei yang dimuatkan dalam katalog pameran seni rupa. Sebahagian besar projek terjemahan yang dilakukannya ialah dengan Balai Seni Lukis Negara dan galeri persendirian seperti Ilham Gallery.

Teratak Nuromar juga terlibat menterjemahkan esei-esei untuk projek penerbitan sebanyak empat jilid bertajuk Naratif Seni Rupa Malaysia yang diterajui oleh RogueArt (2010-2019).

Buku yang pertama sekali saya terjemahkan ialah Einstein: Jagat Kehidupan dan Pemikiran yang diterbitkan oleh IBDE pada tahun 2018.

Saya dijemput oleh Ketua Penyunting IBDE, Al-Mustaqeem, untuk membantu menyiapkan terjemahan buku itu bersama tiga atau empat orang lagi penterjemah. Manakala Perang Anjing Suruhan pula merupakan buku yang pertama saya seratus peratus terjemah.

Bagaimana rasa selepas selesai terjemahkan buku pertama tersebut?

Bila buku Einstein itu diterbitkan, saya berasa amat teruja dan seronok melihatkan nama saya ditulis sebagai salah seorang penterjemahnya.

Namun, penerbitan buku Perang Anjing Suruhan pada 2020 benar-benar lebih menggembirakan dan membanggakan saya memandangkan buku itu hasil terjemahan saya seorang.

Selepas menyemak versi yang diterbitkan, tentulah saya rasa ada terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki dan ada beberapa kesilapan mudah yang telah saya lakukan.

Rasa tidak puas hati selepas karya disiapkan ini mungkin sesuatu yang lumrah dalam apa jua bidang, termasuk penterjemahan.

Di samping itu, saya juga sedar betapa besar dan berkesannya peranan penyunting. Tanpa penyunting, mungkin wujud lebih banyak lagi kesilapan dan karya mungkin boleh jadi kurang ‘sedap’.

Setakat ini sudah berapa banyak buku diterjemahkan?

Setakat ini saya sudah terjemahkan lima buah: Einstein (terjemahan bersama; 2018); Perang Anjing Suruhan (2020); Bintang Merah di Langit Malaya (2022); Tanpa Ampun (2023); dan Mata-Mata Gelap Malaya (terjemahan bersama; 2024).

Semuanya terbitan IBDE. Sekarang pun saya sedang menterjemahkan sebuah lagi buku; juga dengan IBDE.

Apa buku paling susah diterjemahkan dan apa cabarannya?

Perang Anjing Suruhan dan Tanpa Ampun. Perang Anjing Suruhan sebab inilah kali pertama saya menterjemahkan buku (tanpa mengambil kira buku Einstein) dan kali pertama saya menterjemahkan buku sejarah.

Ketika menterjemahkan buku ini saya mula sedar betapa berbezanya cabaran menterjemahkan buku berbanding dengan makalah. Prosesnya menuntut stamina yang tinggi, bukan sahaja stamina fizikal tetapi juga mental dan intelektual.

Pertukaran fokus bidang daripada seni rupa kepada sejarah juga menuntut saya membuat kajian tambahan dan rujukan. Saya perlu menyemak banyak perkara, istilah, maklumat dan fakta.

Kedua-dua buku ini juga mengandungi istilah yang sukar hendak saya terjemahkan, seperti nama pokok dan haiwan dan hal ketenteraan, selain nama khas seperti pertubuhan, rejimen dan sebagainya.

Dan pastilah ada juga cabaran dari sudut bahasa. Ada banyak juga frasa dan idiom yang digunakan oleh Barber dan Chapman yang saya kurang tahu maksud sebenarnya dan adakalanya mengelirukan saya.

Setakat ini sudah empat buku tema sejarah terbitan IBDE diterjemahkan oleh anda. Bagaimana kerja terjemahan mempengaruhi anda?

Pertama, projek penterjemahan ini memberi saya kesempatan untuk membaca buku-buku ini dengan sungguh-sungguh sampai tamat.

Sebenarnya saya sudah lama memiliki Jungle is Neutral, The War of the Running Dogs dan Red Star Over Malaya. Tetapi buku yang pernah saya baca, itupun secara tebuk-tebuk, hanyalah Running Dogs dan Red Star.

Kedua, dan mungkin yang paling penting, projek penterjemahan ini tidak dinafikan banyak membantu meningkatkan kosa kata dan penguasaan bahasa saya, dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.

Ketiga, saya menemui beberapa fakta tentang sejarah Malaysia yang tidak saya temui dalam buku-buku lain yang pernah saya baca sebelum ini atau yang saya sudah lupa tentangnya; meskipun ada juga sesetengah fakta yang menimbulkan kesangsian, seperti satu dua perkara tentang Abdullah CD yang diceritakan dalam Perang Anjing Suruhan.

Buku-buku sejarah terjemahan Syed Omar Husain:-

Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya, 1948-60

(War of Running Dogs: How Malaya Defeated the Communist Guerillas 1948-1960)

Noel Barber

Tahun terbit 1971

Terjemahan pada 2020

- sebuah garapan sejarah menceritakan kisah keberanian penduduk Malaya dan pihak British melawan gerila Komunis menerusi pengalaman peribadi penulis sewaktu zaman Darurat. Turut dimuatkan naratif naik dan jatuhnya kepimpinan gerila komunis di Malaya

Bintang Merah di Langit Malaya

(Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation 1941-1946)

Boon Kheng Cheah

Tahun terbit 1987

Terjemahan pada 2022

- menceritakan keadaan perselisihan kaum antara orang Melayu dan Cina pada penghujung pendudukan Jepun dan juga pergolakan sosial serta keruntuhan undang-undang dan ketenteraman yang terjadi sewaktu tempoh singkat kelompongan kuasa selepas perang berakhir

Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya

(Jungle is Neutral: A Soldier’s Two-Year Escape from the Japanese Army)

Frederick Spencer Chapman

Tahun terbit 1949

Terjemahan pada 2023

- menceritakan pengalaman Chapman yang memilih menjadi pejuang gerila di belantara, mencaturkan perang melawan Jepun yang rakus tatkala Perang Dunia Kedua menggugat bumi Malaya. Pengalaman empat tahun penuh ranjau dan duri ini dicatatkan dengan gaya santai dan bersahaja

Mata-Mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945-1960*

(Malaya’s Secret Police, 1945-60: The Role of Special Branch in the Malayan Emergency)

Leon Comber

Tahun terbit 2003

Terjemahan pada 2024

- karya ini meneroka sebuah dunia gelap dipenuhi ranjau muslihat dan operasi mendebarkan, kisah di sebalik tabir perjuangan rahsia yang mencipta kemakmuran dan keamanan negara Malaysia

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.