ad
AGENDA

Keluarga mangsa tanah jerlus pulang ke India malam tadi

2 Sep 2024, 5:38 AM
Keluarga mangsa tanah jerlus pulang ke India malam tadi

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Keluarga mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India sudah pulang ke India malam tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan dan memasuki fasa 'search and recovery', Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizme Affendy Sulaiman berkata suami dan anak lelaki mangsa bertolak pulang ke tanah air mereka menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ya, mereka telah bertolak pulang malam tadi,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Media semalam melaporkan suami dan dua anak mangsa dilihat hadir menyalakan lampu minyak dan membunyikan loceng iaitu upacara keagamaan agama Hindu di lokasi insiden berkenaan.

Sepanjang operasi SAR, keluarga mangsa terutama anak lelakinya, M Suria, 25, dilihat kerap berada di khemah SAR bagi mengikuti dan mendapatkan maklumat operasi pencarian ibunya oleh pasukan penyelamat.

Terdahulu, dilaporkan Jabatan Imigresen Malaysia melanjutkan visa empat ahli keluarga mangsa iaitu suami, anak dan dua ahli keluarga dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu keperluan mereka sepanjang operasi pencarian dilakukan.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan operasi SAR wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang akibat terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu dihentikan selepas sembilan hari dilaksanakan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.