SHAH ALAM, 2 SEPT: Seramai 450 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima manfaat melalui Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), kata wakil rakyatnya.
S Preakas memaklumkan buat masa ini pihaknya sedang menjalankan semakan untuk baki kuota 202 penerima bantuan yang dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Kita menerima lebih 1,500 permohonan tetapi kuota diberikan hanya 652 individu sahaja. Oleh itu, kita perlu buat saringan bagi memastikan mereka benar-benar layak menerima bantuan.
“Bagaimanapun, permohonan yang tidak lulus dan memerlukan bantuan kita masih agihkan menerusi program bakul makanan,” katanya ditemui pada kejohanan bola sepak Piala DUN Kota Kemuning di Stadium Belia dan Sukan di sini semalam.
[caption id="attachment_661242" align="alignleft" width="404"] Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas[/caption]
Sebelum ini, EXCO Kebajikan Anfaal Saari memaklumkan 22,840 permohonan BINGKAS diluluskan selepas tarikh tutup 15 Ogos lalu.
Katanya, setakat ini terdapat 7,160 baki kuota dan sedang menyaring senarai pemohon bagi memastikan hanya yang layak menerima bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan.
Pada 5 Julai, Anfaal mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.
BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).
Bayaran bantuan berkenaan diagih menerusi aplikasi e-dompet Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi memudahkan penerima berbelanja.