GOMBAK, 1 SEPT: Pembinaan Kompleks Islam Wira Damai membabitkan peruntukan RM33 juta bakal memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek Kerajaan Negeri menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang didirikan di atas tanah seluas 10.5 ekar dijangka siap pada suku pertama 2027.
Menurutnya, bangunan itu akan menjadi pusat setempat program pembangunan ummah selain menyediakan kemudahan solat lebih selesa kepada penduduk menggantikan Masjid An-Nur Kampung Wira Damai yang usang dan padat dengan limpahan jemaah.
"Proses permohonan kebenaran merancang dan pewartaan sebagai kawasan masjid juga sedang berjalan dijangka selesai hujung tahun ini sebelum kerja pembinaan dijadual bermula tahun depan.
"Pembinaan kompleks ini menggunakan konsep nusantara bersesuaian dengan keadaan cuaca serta mampu menempatkan sehingga 2,700 jemaah dalam satu masa.
“Kemudahan tersebut akan digunakan bersama kawasan kejiranan termasuk penduduk Apartmen Cempaka dan Kenanga serta Beringin selain sebahagian Kampung Laksamana dan Gombak Permai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks itu di sini hari ini.
[caption id="attachment_661215" align="alignnone" width="884"] Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari merasmikan majlis pecah tanah Kompleks Islam Wira Damai di Kampung Wira Damai, Gombak pada 1 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkata bangunan berkenaan turut dilengkapi dewan tertutup, sekolah rendah agama serta kuarters kakitangan masjid.
“Kompleks akan berada di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) setelah pembiaan siap,” ujarnya.