ad
BUDAYA

Fana ke Piala Dunia

1 Sep 2024, 12:30 AM
Fana ke Piala Dunia

Oleh Cech Adrea

Fana dapat panggilan untuk main futsal peringkat kebangsaan. Sepatutnya dia jadi kebanggaan orang kampung, tapi tak. Ada yang mencemuhnya. Mereka kata Fana lesbian, sebab penampilan dia dah macam lelaki, rambut pendek, dan main bola terkangkang sini sana.

Saya ingat lagi, masa darjah lima dulu, Fana jadi crush semua orang di sekolah. Ada sekali masa dia lalu pintu belakang kelas, saya ada situ. Masa itu dia pegang buku log panjang, bila ada pantulan cahaya matahari dari buku ke lantai, dia teruja. Saya nampak dari pintu belakang kelas, dia sedang tersenyum sambil main-main dengan refleks cahaya. Dia panggil saya yang sedang duduk di kerusi paling belakang, memang saya seorang saja yang duduk paling belakang berhampiran pintu. Saya tak tahu macam mana nak respon. Saya senyum bersahaja, agak kekok. Itu kali pertama dan terakhir kami bercakap. Tahun kemudian, dia pindah sekolah. Saya tak ada dengar cerita pasal dia pun sepanjang beberapa tahun ini. Tiba-tiba nama dia naik, sekarang orang tengah kecam dia pasal jadi lesbian.

Saya sendiri tak sangka penampilan Fana berubah sangat dalam sepuluh tahun ini. Dengar kata, semua itu jadi bila dia masuk sekolah sukan. Kawan-kawan dia ramai yang macam lelaki, tomboi. Dia pula, dari seorang yang sangat feminin, sekarang dah jadi macam lelaki, dada pun dah rata semacam lelaki. Orang kata dia pakai bengkung. Setahu saya budak sekolah sukan memang selalu macam itu, sebab senang nak bersukan.

Masa sekolah rendah dulu pun Fana memang aktif bersukan, sebab itu budak-budak lelaki suka dengan karakter dia. Seingat saya, dia main bola tampar dan ping-pong sampai peringkat negeri. Saya ingat semua ini sebab masa itu saya pun tengah sibuk persiapan nasyid peringkat negeri juga.

Tapi, tak pernah saya tahu dia minat main bola.

Walaupun dapat tentangan orang kampung, Fana pergi juga lapor diri ke pengambilan pasukan futsal kebangsaan. Saya dengar, orang tua Fana sendiri pun tak suka Fana main futsal, mereka pun turut mengiyakan yang Fana nak jadi lesbian. Saya kasihan dengan Fana, dulu ibu bapa dia sokong dia nak masuk sekolah sukan, tapi bila mulut orang kampung dah canang macam-macam, ibu bapa mereka pun dah fikir negatif. Mereka pernah minta Fana berhenti main futsal atau jangan balik kampung. Fana tak peduli apa orang kata, dia tetap nak kejar cita-cita jadi bintang futsal. Akibatnya, dia dah dibuang oleh keluarga dan dah tak balik kampung.

Dah lama juga dia tak balik kampung. Selalunya kalau cuti panjang, macam cuti raya, saya akan terserempak dengan dia, tengah beli nasi di Kedai Kak Chik. Dia pun selalu juga ada di masjid, kadang-kadang waktu selang antara maghrib dan isyak saya nampak dia di tangga masjid. Saya perasan dia nampak saya, tapi kami masing-masing buat tak tahu. Entahlah, kalau bertegur pun tak tahu apa yang nak diborakkan.

Itu pun dah lama dah, sebelum ibu bapa dia pindah. Cerita Fana terhenti sampai situ. Ibu bapa Fana pula dah pindah ke Kuala Terengganu, malu dengan orang kampung sebab anak mereka jadi lesbian. Saya pun tak faham apa yang orang kampung kecoh sangat, kalau Fana lesbian pun, biarlah dia.

Bila cerita Fana dah lengang, orang kampung pun dah jarang bercakap pasal dia, tak macam dulu-dulu. Lama juga cerita Fana jadi senyap.

Sekarang ada satu cerita lain pula dah jadi hangat di kampung. Duan, anak Lebai Yusof yang tak kahwin sampai sekarang, dah jadi pondan di KL. Saya tak tahu sangat cerita ini, cuma dengar orang bercerita. Katanya, Duan dah buka kelas tutorial makeup, dan dia sendiri pun dah jadi lembut semacam. Orang kampung syak dia gay, lebih-lebih lagi dah umur 30-an pun dia belum kahwin. Lebai Yusof dah tak tahu mana nak letak muka, Duan pula memang dah lama tak balik kampung. Sebulan dua lepas, Lebai Yusof pula pindah.

Macam biasa, bila satu cerita reda, cerita lain pula akan muncul. Kali ini kena atas batang hidung saya. Semuanya jadi masa saya tengah mengajar budak-budak di kelas nasyid. Ada pelajar bawa mulut, kata saya menggalakkan budak jadi pondan, dan cerita ini sampai ke mak bapak mereka. Orang kampung mula kata saya sebelahkan golongan LGBT, tak padan dengan mengajar budak nasyid. Satu kampung kutuk dan pulaukan saya. Bila pergi masjid, seorang pun tak ada yang tegur saya. Walhal, saya cuma cakap, jangan hentam golongan-golongan macam ini sebab mereka perlukan sokongan. Tapi, apa yang sampai ke mulut mereka, macam saya ini aktivis LGBT pula.

Saya dah tak tahan dah dengan perangai orang sini, jadi saya pilih untuk pindah. Saya rasa lebih baik saya mengajar nasyid budak-budak bandar, kampung dah tak sesuai dengan saya.

Macam sebelumnya, perlahan-lahan cerita itu reda. Saya dah malas nak ambil tahu pasal orang kampung. Ada sekali, saya balik sini sebab nak ambil saki-baki barang-barang. Saya rindukan nasi Kak Chik, jadi saya singgah dan beli dua bungkus. Saya nampak Fana, tengah turunkan tanda tangan kepada orang kampung yang beratur. Fana nampak saya, tapi saya buat-buat tak nampak. Malas nak tegur.

Saya ada dengar yang pasukan futsal perempuan dah berjaya dapat nombor empat di kejohanan Asia. Fana dah jadi kapten pasukan, dan dia paling menonjol dalam kejohanan itu. Silap-silap nanti dia bakal main di Piala Dunia. Saya pasang telinga orang tengah bercakap-cakap, betul-betul bangga dengan Fana, kata mereka Fana dah naikkan nama kampung ini.

Dulu mereka kutuk-kutuk, kata Fana lesbian, tapi sekarang sanggup beratur untuk bergambar dan minta tandatangan.

Saya harap mereka pun akan turut bangga kalau satu hari kumpulan nasyid kampung ini dapat menang apa-apa kejohanan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.