AMPANG JAYA, 31 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa lebih setengah jam menziarahi bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang di kediamannya di Taman Sri Ukay di sini hari ini.
Saari Sungib disahkan menghidap penyakit parkinson pada kaki kiri beberapa tahun lalu dan kini terpaksa menggunakan kerusi roda.
Bekas wakil rakyat tersebut turut berkongsi kegembiraan menerima kunjungan Amirudin sekali gus melihat hubungan baik antara beliau dengan ahli parlimen Gombak itu.
“Saya berkongsi pengalaman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 12 Oktober 1998 selama 15 hari dan kemudian kali kedua pada 2001 hingga 2 Jun 2003 selama dua tahun dua bulan.
“Selain itu saya turut membangkitkan mengenai isu-isu tempatan di kawasan DUN Hulu Kelang untuk mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar,” kongsinya kepada pemberita.
Untuk rekod, Saari menjadi ADN Hulu Kelang selama tiga penggal sejak memenangi kerusi itu melalui pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada 2008.
[caption id="attachment_661105" align="alignnone" width="935"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis minum petang bersama masyarakat Kampung Pasir dan pelancaran Kempen Kejiranan Kita Jaga Jiran-Jiran semasa program lawatan kawasan Parlimen Gombak di Dataran Cabin Kampung Pasir Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 31 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak turut meluang masa menyantuni dan meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 bersama penduduk Kampung Pasir, di sini.
Beliau beramah mesra sambil minum petang serta menikmati juadah disajikan antaranya lemang, rendang ayam dan kuih-muih.
Penduduk yang hadir turut dihiburkan persembahan dari penyanyi lagenda, Datuk Nash.
[caption id="attachment_661106" align="alignnone" width="851"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pemimpin setempat ketika program lawatan kawasan Parlimen Gombak di Pejabat Penyelaras DUN Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 31 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam ucapan ringkasnya, Amirudin menyeru penduduk menghayati tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’.
“Kebebasan yang kita dinikmati sekarang ini jauh lebih baik, asasnya adalah perpaduan dan kestabilan yang kita bentuk di peringkat negeri dan kerajaan persekutuan.
“Namun, kestabilan yang dikecapi hari ini tidak menghalang dari mendengar kritikan tetapi bukan dengan menimbulkan cerita seolah-olah negara sedang berada dalam keadaan kacau-bilau dan tidak teratur.
“Kita boleh berbeza pandangan tetapi perlu dilontarkan dengan matang. Inilah makna ‘jiwa merdeka’, iaitu jiwa yang tidak tertipu serta dapat membezakan perkara yang betul dan salah,” katanya.