AMPANG JAYA, 31 OGOS: Komuniti Orang Asli tetap mendapat perhatian pentadbiran negeri termasuk menerima biasiswa Sagong Tasi, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan bantuan pendidikan itu bukan hanya ditawar kepada pelajar yang menyambung pengajian peringkat universiti sebaliknya boleh dipohon pelajar sekolah menengah.
“Yang masuk pengajian kelas ketiga macam Institut Kemahiran Bina Negara, GiatMARA juga boleh mohon.
“Dasar Kerajaan Negeri nak pastikan pembangunan, kebajikan semua terbela. Kita mahu rakyat Selangor mendapat perhatian dan pembelaan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kesihatan dan sambutan Hari Orang Asli Sedunia di Perkampungan Orang Asli Kemensah, di sini hari ini.
[caption id="attachment_661040" align="alignnone" width="796"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat reruai selepas merasmikan program Karnival Kesihatan Bersama Orang Asli Kemensah di Dewan Orang Asli Kemensah, Ampang Jaya pada 31 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sepanjang tahun lalu, Ahli Parlimen Gombak berkata sejumlah RM1 juta digunakan bagi melaksanakan proses mewarta perkampung Asli seluruh negeri.
Bagaimanapun Amirudin menjelaskan kampung berkenaan tidak dapat diwarta setakat ini memandangkan kawasan itu melibatkan rizab hutan.
“Ini dekat dengan kawasan geopark yang perlu daftar sehingga peringkat antarabangsa. Jadi banyak peraturan kena buat dan perlukan masa kalau nak gazetkan.
“Tetapi kita jamin tak akan halau penduduk sini dan pastikan boleh terus duduk kerana sudah lama tinggal di sini. Cuma kena tambah kemudahan,” katanya.
Menerusi rancangan belanja tahun ini, Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.5 juta kepada Orang Asli dan jumlah itu tertinggi dalam sejarah.