Oleh Siti Rohaizah Zainal & Fitri Hazim Hazam
SHAH ALAM, 31 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 60,000 pengunjung dari pelbagai bangsa.
Berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, acara berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhammad yang disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri dan wakil rakyat.
[caption id="attachment_660911" align="aligncenter" width="811"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan pentadbiran negeri dan EXCO teruja menyaksikan perarakan kontijen pada Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tepat jam 12 tengah malam, bergema laungan ‘Merdeka’ yang diketuai Amirudin selain dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan nyanyian lagu Tanggal 31 Ogos serta Jalur Gemilang.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan anugerah Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor kepada Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran salah seorang anggota polis yang terkorban dalam pertempuran antara Kumpulan Sulu dari selatan Filipina dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013.
Amirudin menyerahkan anugerah tersebut kepada ibu Mohd Azrul, Sa'diah Amin yang ditemani anaknya Azlin Tukiran (kakak Mohd Azrul).
Selain itu, Amirudin turut menyampaikan sumbangan kepada veteran Persatuan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Tahun ini, sambutan hari kebangsaan menampilkan sedikit kelainan antaranya tambahan perarakan kontinjen daripada 66 kepada 70 selain persembahan taktikal.
Badan beruniform kerajaan, polis, bomba dan tentera turut melakukan persembahan taktikal selain terdapat persembahan tradisional dan tarian moden.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis nombor satu tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza dan barisan artis lain seperti Faizal Tahir, Roy, Poey Stings, Projektor Band dan kumpulan tarian Zeppo Youngsterz.
[caption id="attachment_660885" align="aligncenter" width="775"] Pelajar tahfiz ketika program Selawat, Munajat dan Tausiyah Perdana sempena Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Selangor 2024 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Petang tadi, program tazkirah yang dipimpin Ustaz Zul Ramli dan berselawat bersama Ustaz Fahmi Legacy dan Asy-Syakirin dihadiri ratusan pelajar tahfiz.
Tahun ini logo Malaysia Madani dipilih sebagai logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut, dengan tema sambutan ‘Malaysia Madani – Jiwa Merdeka’.
Berikut foto-foto menarik yang dirakam pada sambutan berkenaan:
[caption id="attachment_660912" align="aligncenter" width="796"] Ribuan pengunjung pelbagai bangsa membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk meraikan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_660916" align="aligncenter" width="812"] Penyanyi Dato' Sri Siti Nurhaliza menghiburkan orang ramai sempena Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_660913" align="aligncenter" width="813"] Angkatan Tentera Malaysia membuat persembahan Operasi Dalam Kawasan Terbina pada Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_660917" align="aligncenter" width="814"] Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia melakukan perarakan sempena Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDI SELANGOR[/caption]